KUALA LUMPUR -Pengerusi Umno Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bertekad akan mempertahan dan memperkasakan gelombang biru di Melaka.
Menurut Ketua Menteri Melaka itu, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan dijadikan pembakar semangat, bukan alasan untuk kita selesa.
“Sebagai Umno Negeri Melaka, tekad saya jelas iaitu gelombang biru mesti kita pertahankan dan diperkasakan di bumi Melaka.
“Kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan kita jadikan pembakar semangat, bukan alasan untuk kita selesa.
“Jentera mesti terus bergerak. Akar umbi mesti diperkasa. Khidmat kepada rakyat harus menjadi keutamaan.
“Gelombang biru kita teruskan. Melaka Sayang Rakyat! ikrar Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara itu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi bersempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang dipengerusikan oleh Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, bersama kepimpinan tertinggi parti.
Katanya, selain fokus pada PAU 2026, sudah tentu tumpuan kita turut terarah kepada persiapan Umno menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.



