4 Hotel jenama tempatan Indonesia yang menarik di Jakarta

Oleh Shah Shamshiri

Jakarta sememangnya tidak pernah ketandusan pilihan penginapan. Sebagai salah satu kota metropolitan paling sibuk di Asia Tenggara, ibu negara Indonesia ini menawarkan pelbagai hotel daripada penginapan bajet sehinggalah hotel mewah bertaraf lima bintang, menjadikan pilihan untuk pelancong begitu banyak.

Namun, dalam memilih tempat menginap, ramai pelancong khususnya dari Malaysia sering memberi keutamaan kepada rangkaian hotel antarabangsa yang sudah dikenali. Tanpa disedari, Indonesia sendiri mempunyai banyak jenama hotel tempatan yang bukan sahaja mempunyai standard yang setanding dengan jenama antarabangsa, malah ada yang menawarkan pengalaman lebih dekat dengan identiti dan budaya tempatan. Berikut adalah empat hotel jenama tempatan Indonesia yang menarik untuk dipertimbangkan ketika berkunjung ke Jakarta.

1. Grand Sahid Jaya Jakarta – Ikon Hospitaliti Tempatan Dengan Identiti Indonesia

Bagi mereka yang mahukan pengalaman menginap di hotel yang mempunyai sejarah panjang, Grand Sahid Jaya Jakarta pastinya antara pilihan menarik.

Hotel yang merupakan jenama hospitaliti tempatan Indonesia ini mula beroperasi pada 23 Mac 1974 dan menerima status hotel lima bintang pada 1987, menjadikannya antara nama lama yang cukup dikenali dalam industri hospitaliti Jakarta.

Terletak di Jalan Jenderal Sudirman, salah satu kawasan paling strategik di Jakarta, Grand Sahid Jaya menggabungkan sejarah dan identiti Indonesia dengan kemudahan moden. Hotel ini turut menampilkan sentuhan tradisional Indonesia dalam reka bentuk dan layanan, di samping menawarkan kemudahan yang dijangka daripada sebuah hotel lima bintang.

Kini, Grand Sahid Jaya memasuki satu bab baharu dengan ruang yang telah diperbaharui, bilik yang lebih segar serta pengalaman tetamu yang lebih moden.

Dengan gabungan lokasi strategik, sejarah panjang, bilik yang selesa dan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang serta pilihan tempat makan, hotel ini memberikan definisi baharu kepada kemewahan tempatan Indonesia.

2. Aryaduta Menteng – Nama Tempatan Yang Sudah Menjadi Ikon Jakarta

Jika bercakap tentang jenama hotel tempatan Indonesia, Aryaduta sememangnya antara nama yang cukup dikenali. Dengan beberapa hotel di pelbagai destinasi di Indonesia, jenama ini telah lama menjadi sebahagian daripada landskap hospitaliti negara tersebut.

Di Jakarta pula, Aryaduta Menteng merupakan antara hotel tempatan yang mempunyai sejarah tersendiri. Hotel ini telah menjadi pilihan pengunjung selama beberapa dekad dan meraikan ulang tahun ke-50 pada 2024, menjadikannya antara hotel yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah hospitaliti kota Jakarta.

Lokasinya di kawasan Menteng juga menjadi salah satu kelebihan utama. Hotel ini berada berhampiran kawasan perniagaan, pusat membeli-belah, restoran serta tempat hiburan utama, menjadikannya sesuai untuk pelancong yang mahu meneroka Jakarta dengan mudah.

Bilik-biliknya pula menggabungkan keselesaan dan gaya, dengan pilihan daripada bilik Superior dan Deluxe sehingga suite yang lebih luas.

Apa yang menarik, pengalaman menginap di Aryaduta Menteng tidak terhad kepada bilik sahaja. Hotel ini turut mempunyai beberapa pilihan tempat makan termasuk JP Bistro, Ambiente Ristorante, Shima Japanese Restaurant, Akar by Aryaduta Menteng, Pool Cafe dan Lobby Lounge.

Dengan sejarah yang panjang, lokasi yang strategik dan pengalaman hospitaliti yang telah dibina selama lebih lima dekad, Aryaduta Menteng membuktikan bahawa jenama tempatan juga mampu bertahan dan kekal relevan dalam dunia hotel yang semakin kompetitif.

3. ARTOTEL Casa Kuningan – Apabila Seni Menjadi Sebahagian Daripada Pengalaman Menginap

Bagi pelancong yang mahukan sesuatu yang lebih moden, kreatif dan bergaya, ARTOTEL Casa Kuningan pula menawarkan pengalaman yang berbeza.

ARTOTEL merupakan antara jenama hotel tempatan Indonesia yang semakin dikenali dengan pendekatannya yang menggabungkan seni, reka bentuk, hospitaliti dan gaya hidup.

Terletak di kawasan Kuningan, hotel ini mempunyai lokasi yang menarik kerana berada berhampiran kawasan kedutaan, pusat perniagaan serta pelbagai tarikan bandar. Pada masa sama, kedudukannya dalam kawasan perumahan memberikan suasana yang lebih tenang berbanding kawasan komersial Jakarta yang sibuk.

Seperti identiti ARTOTEL yang lain, elemen seni jelas menjadi sebahagian daripada pengalaman di Casa Kuningan. Reka bentuk bangunan dan ruang dalaman dihiasi dengan karya serta sentuhan artistik, menjadikan hotel ini cukup menarik untuk mereka yang gemar bergambar dan menghasilkan kandungan media sosial.

Bilik Studio pula menawarkan suasana yang moden dan selesa, manakala La Gazette All Day Dining menyediakan pilihan makanan tempatan dan antarabangsa, termasuk sarapan dengan pelbagai pilihan.

Hotel ini turut mempunyai kemudahan seperti ruang acara Glass House, gim dan bar atas bumbung, selain ARTSPACE yang menjadi platform untuk karya artis tempatan dan serantau.
Ringkasnya, ARTOTEL Casa Kuningan bukan sekadar tempat untuk tidur selepas seharian meneroka Jakarta, tetapi sebuah ruang kreatif yang membolehkan tetamu menikmati seni, reka bentuk dan gaya hidup dalam satu pengalaman.

4. ARTOTEL Gelora Senayan – Gabungan Seni, Sukan Dan Gaya Hidup

Satu lagi hotel di bawah jenama ARTOTEL yang menarik perhatian ialah ARTOTEL Gelora Senayan Jakarta, khususnya bagi mereka yang gemarkan gabungan seni, aktiviti sukan dan gaya hidup bandar.

Seperti namanya, hotel ini terletak di kawasan Gelora Senayan, salah satu hab sukan dan gaya hidup paling terkenal di Jakarta. Kedudukannya berhampiran kompleks Gelora Bung Karno (GBK) menjadikannya pilihan menarik untuk mereka yang datang ke Jakarta bagi menghadiri acara sukan, konsert atau sekadar mahu menikmati aktiviti luar.

Malah, hotel ini terletak bersebelahan fX Sudirman Mall, memberikan tetamu akses mudah kepada pusat membeli-belah, hiburan dan pelbagai pilihan makanan.

Hotel ini turut membawa identiti seni ARTOTEL melalui ARTSPACE, yang berfungsi sebagai platform untuk karya seni kontemporari daripada artis tempatan dan serantau. Sesetengah karya yang dipamerkan juga boleh dibeli, menjadikan pengalaman seni di hotel ini lebih interaktif.

Bilik-bilik yang telah dikemas kini pula menampilkan reka bentuk moden dan minimalis, lengkap dengan elemen seni yang menjadi identiti jenama tersebut.

Untuk mereka yang mahu kekal aktif, hotel ini menawarkan pusat kecergasan dan kolam renang luaran. Dari segi makanan pula, tetamu boleh menikmati hidangan Indonesia di Lidah Lokal, manakala Buka Mata Coffee Shop menawarkan kopi, pastri dan pilihan santai sepanjang hari.

Gabungan lokasi, seni, sukan, makanan dan gaya hidup menjadikan ARTOTEL Gelora Senayan pilihan yang menarik untuk pelancong yang mahukan sesuatu yang lebih dinamik daripada pengalaman hotel konvensional.

Jakarta mungkin mempunyai banyak hotel daripada rangkaian antarabangsa, tetapi empat hotel ini membuktikan bahawa jenama tempatan Indonesia juga mempunyai banyak kelebihan tersendiri.
Daripada sejarah dan kemewahan Grand Sahid Jaya Jakarta serta Aryaduta Menteng, hinggalah pendekatan seni dan gaya hidup ARTOTEL Casa Kuningan dan ARTOTEL Gelora Senayan, setiap hotel menawarkan pengalaman yang berbeza.

Jadi, untuk kunjungan anda ke Jakarta yang seterusnya, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat lebih jauh daripada jenama antarabangsa dan memberi peluang kepada hotel tempatan Indonesia. Kadangkala, pengalaman yang paling menarik datang daripada jenama yang benar-benar memahami kota dan budaya tempat mereka berada.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat