TV AlHijrah tampil empat karya baru angkat keadilan, misteri, taubat dan kemanusiaan

TV AlHijrah memperkenalkan empat karya baru yang terdiri daripada dua telefilem dan dua drama bersiri, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kandungan fiksyen berteraskan nilai Islam serta mendekati cita rasa penonton masa kini.

Empat karya berkenaan ialah Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan yang mengetengahkan pelbagai genre serta persoalan kehidupan masyarakat, termasuk keadilan, diskriminasi, misteri, paranormal, taubat dan peluang kedua.

Kesemua karya berkenaan ditayangkan terlebih dahulu secara eksklusif menerusi platform penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah.

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pemilihan empat naskhah itu dibuat menerusi proses saringan yang mengambil kira kekuatan cerita, kesesuaian kandungan dengan penonton serta aspek pematuhan syariah.

Katanya, setiap skrip yang dikemukakan akan melalui penilaian panel termasuk panel syariah sebelum karya dipilih untuk diterbitkan.

“Empat naskhah ini merupakan naskhah yang kita telah screening dan kita telah bekerjasama dengan pengarah, penulis dan penulis skrip untuk drama atau telefilem yang diberikan itu supaya kita screen mengikut patuh syariah.

“Daripada awal lagi, skrip yang dihantar kita nilai dan kita ada panel yang menilai. Jadi, pemilihan itu telah dibuat daripada awal,” katanya.

Menurut Zulkarnaen, pendekatan berkenaan merupakan antara usaha TV AlHijrah memperkukuh penerbitan drama patuh syariah, khususnya ketika pasaran kandungan televisyen banyak menampilkan karya yang berteraskan konflik dan isu kontroversi.

“TV AlHijrah terpanggil untuk menyediakan satu drama yang ada nilai dan kandungannya segar. Maksudnya, kita mahu penonton melihat bahawa inilah sebenarnya drama yang patuh syariah, yang ada nilai, bukan sekadar drama yang flat.

“Drama itu ada kisah masyarakat, ada nilai tetapi dalam masa yang sama ada juga batas-batasnya,” katanya.

Beliau berkata, TV AlHijrah turut bekerjasama dengan pihak produksi sepanjang proses penerbitan, termasuk memberikan pandangan terhadap jalan cerita, skrip dan pemilihan pelakon bagi memastikan karya yang dihasilkan selari dengan identiti stesen.

“Bila kita sudah buat pemilihan, sepanjang proses itu kita beri komen untuk ubah sedikit, termasuk dari segi pelakon dan jalan cerita.

“Ini antara kerjasama antara penerbit dan TV AlHijrah untuk menghasilkan drama yang patuh syariah,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnaen berkata, strategi menayangkan drama dan telefilem menerusi AH+ terlebih dahulu merupakan pendekatan digital-first yang dilaksanakan bagi menarik penonton baru, khususnya golongan muda.

“Kita memang sasarkan drama-drama ini untuk digital, digital-first, supaya kita tarik penonton-penonton muda kepada TV juga kerana selepas kita tayangkan, kita akan tayangkan di TV,” katanya.

Menurutnya, platform AH+ baru sahaja dinaik taraf kepada versi yang lebih mesra pengguna, sekali gus menjadi antara faktor pihaknya memilih untuk menampilkan karya berkenaan sebagai kandungan premium di platform tersebut.

Beliau berkata, jumlah pelanggan AH+ kini melebihi 300,000, iaitu sekitar 308,000 pelanggan.

“Kita sebenarnya baru buka yang aktif itu tahun lepas dan kita baru upgrade tahun ini. Versi yang sudah dinaik taraf ini baru bermula bulan September,” katanya.

Tambah beliau, TV AlHijrah pada tahun ini menerima penyertaan daripada kira-kira 40 rumah produksi yang dijemput untuk mengemukakan karya sebelum melalui proses saringan.

Daripada jumlah itu, pihaknya memilih kira-kira enam telefilem dan enam drama bersiri untuk diketengahkan sepanjang tahun ini.

Bersuara Tapi Tak Didengar angkat isu diskriminasi

Telefilem Bersuara Tapi Tak Didengar membuka tirai tayangan pada 6 September 2026, jam 9 malam menerusi AH+.

Karya arahan Heykal Hanifah terbitan Luqsar Kreatif itu mengisahkan Zaini, seorang peguam muda yang mempunyai sindrom Tourette dan berdepan diskriminasi dalam dunia profesional.

Selepas mewarisi sebuah firma guaman, Zaini berusaha mempertahankan maruah, integriti dan keadilan meskipun berdepan muslihat seorang peguam senior serta persepsi masyarakat.

Telefilem berdurasi 120 minit itu menampilkan Nafiz Muaz, Rusdi Ramli dan Dato’ Hilal Azman.

Mistik Bilik Mayat teroka dunia kematian

Sementara itu, drama bersiri lapan episod *Mistik Bilik Mayat* membawa penonton meneroka tema kematian, pengurusan jenazah dan pengebumian, iaitu ruang yang jarang diterokai secara mendalam dalam drama televisyen.

Arahan Rashid Sibir dan terbitan Opera Klasik Film, drama itu turut merungkai pelbagai kepercayaan mistik serta amalan yang berakar dalam masyarakat menerusi perspektif Islam.

Mistik Bilik Mayat mula bersiaran menerusi AH+ pada 22 September hingga 26 Oktober 2026, setiap Isnin dan Selasa, jam 10 malam.

Drama berkenaan menampilkan Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.

Ghost Buskers gabung nasyid dan penyiasatan paranormal

Kelainan turut ditampilkan menerusi Ghost Buskers, drama bersiri lapan episod yang menggabungkan elemen nasyid, dakwah, ruqyah dan penyiasatan paranormal.

Drama itu mengisahkan sekumpulan pemuzik yang menjadi pendakwah jalanan dan mengendalikan kes-kes misteri secara patuh syariah.

Pada masa sama, karya berkenaan menekankan kepentingan menilai sesuatu kejadian secara rasional kerana tidak semua perkara yang disangka sebagai gangguan makhluk halus benar-benar berpunca daripada unsur paranormal.

Sebahagian kes turut dikaitkan dengan tekanan emosi, fenomena fizikal, penipuan atau *scam* yang berasaskan kepercayaan khurafat.

Terbitan Sha’s Media dan arahan Eoon Shuhaini, drama itu menampilkan UNIC, Nabila Razali, Sharifah Rose dan Jazmy Juma.

Ghost Buskers dijadualkan bersiaran menerusi AH+ dari 20 Oktober hingga 16 November 2026, setiap Isnin dan Selasa, jam 10 malam.

Azan Terakhir Seorang Banduan ketengahkan peluang kedua

Telefilem Azan Terakhir Seorang Banduan pula mengangkat kisah Zack, seorang bekas banduan yang mahu memulakan kehidupan baru tetapi masih berdepan stigma masyarakat dan keluarganya akibat masa lalu.

Surau menjadi tempat Zack kembali mencari ketenangan dan membina semula kehidupannya menerusi azan serta ibadah.Karya arahan Jamal Khan terbitan Cinema Stage itu menampilkan Redza Rosli, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Amir Khan.

Mengangkat tema taubat, pengampunan, stigma masyarakat dan peluang kedua, telefilem berkenaan dijadualkan bersiaran pada 11 Oktober 2026, jam 9 malam menerusi AH+.

Ketua Pegawai Operasi (COO) TV AlHijrah, Nadzariah Binti Mohamed berkata, empat karya terbaru yang terdiri daripada dua telefilem dan dua drama bersiri itu melalui proses saringan sejak di peringkat skrip bagi memastikan kandungannya memenuhi keperluan patuh syariah. Menurutnya, TV AlHijrah turut mempunyai panel penilai termasuk panel syariah yang meneliti setiap naskhah dari aspek mesej, pengajaran, kesesuaian kandungan serta identiti stesen sebelum karya dipilih untuk diterbitkan.

Beliau berkata, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha TV AlHijrah menyediakan kandungan drama yang mempunyai nilai dan mesej kemasyarakatan, namun pada masa sama masih menarik untuk ditonton. Katanya, kerjasama bersama penerbit turut melibatkan penambahbaikan terhadap skrip, jalan cerita dan pemilihan pelakon bagi memastikan karya yang dihasilkan selari dengan garis panduan serta DNA TV AlHijrah.

“Dakwah ini bukan setakat kita bagi ceramah atau tazkirah, tetapi ia lebih kepada drama yang patuh syariah,” katanya.

Nadzariah berkata, empat karya berkenaan turut menjadi antara kandungan yang diberi keutamaan untuk tayangan premium di platform AlHijrah Plus (H+) sebelum disiarkan di televisyen, sebagai strategi menarik penonton baharu khususnya golongan muda. Beliau turut menegaskan bahawa penghasilan drama patuh syariah memerlukan kerjasama erat antara stesen televisyen, penerbit, penulis skrip, pengarah dan pelakon.

“Kita nak membantu pengkarya-pengkarya ini untuk menghasilkan drama-drama Islami yang patuh syariah, tetapi boleh viral juga,” katanya.

Menerusi empat karya berkenaan, TV AlHijrah meneruskan usaha memperluas kandungan fiksyen berteraskan nilai Islam, di samping membuktikan bahawa drama patuh syariah boleh diketengahkan menerusi pelbagai genre dan pendekatan tanpa mengabaikan elemen hiburan serta penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat