Pemuda UMNO Kuala Selangor sambut baik tiga agenda Akmal, tumpu anak muda dan ibu tunggal – Aliff

KUALA LUMPUR — Tiga cadangan dasar yang diketengahkan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan dasarnya dilihat memberi fokus kepada keperluan golongan muda dan ibu tunggal, termasuk kebajikan pekerja p-hailing, pemilikan rumah serta pembayaran nafkah.

Bercakap kepada Suara TV, Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Aliff Asyraf Azhari berkata, cadangan berkenaan membuktikan Pemuda UMNO bukan sekadar membincangkan soal politik, sebaliknya turut membawa dasar yang menyentuh secara langsung kehidupan rakyat.

“Cadangan itu meliputi servis percuma motosikal p-hailing, program Sewa Untuk Dimiliki atau Rent-to-Own serta potongan automatik nafkah,” katanya.

“Ketiga-tiganya menyentuh keperluan anak muda mencari pendapatan, memiliki rumah serta kebajikan anak-anak dan ibu tunggal,” katanya.

Aliff berkata, cadangan menyediakan servis percuma bagi motosikal pekerja p-hailing dilihat sebagai satu langkah yang boleh meringankan beban golongan muda yang bergantung kepada pekerjaan berkenaan sebagai sumber pendapatan utama atau sampingan.

“Cadangan servis motosikal ini menunjukkan Pemuda memahami cabaran sebenar anak muda yang bekerja dalam sektor p-hailing,” katanya.

“Bagi mereka, motosikal merupakan antara aset paling penting untuk mencari rezeki, jadi aspek penyelenggaraan dan kos membaiki motosikal memang memberi kesan kepada pendapatan mereka,” katanya.

Mengenai program Sewa Untuk Dimiliki atau Rent-to-Own pula, beliau berkata pendekatan berkenaan mampu menjadi alternatif kepada golongan muda, khususnya pembeli rumah pertama yang berdepan cabaran untuk menyediakan deposit dan memenuhi komitmen pembiayaan perumahan.

“Konsep ini relevan untuk membantu anak muda memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan mereka,” katanya.

“Di beberapa negara maju seperti England, pendekatan rent-to-own juga digunakan untuk membantu golongan yang mahu memiliki kediaman, terutama pembeli rumah pertama,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff berkata cadangan potongan automatik nafkah terhadap suami yang culas membayar nafkah turut perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan kebajikan anak-anak serta ibu tunggal yang bergantung kepada pembayaran tersebut untuk meneruskan kehidupan.

“Isu nafkah ini penting kerana ia melibatkan hak dan kebajikan anak-anak serta ibu tunggal,” katanya.

“Kalau ada mekanisme yang lebih berkesan untuk memastikan nafkah dapat disalurkan secara konsisten, perkara itu perlu dilihat dan diperhalusi,” katanya.

Menurut Aliff, ketiga-tiga cadangan tersebut memperlihatkan pendekatan Pemuda UMNO yang tidak hanya tertumpu kepada isu politik, sebaliknya berusaha membawa dasar yang boleh memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat.

“Ini yang menjadikan PAU Pemuda kali ini berbeza daripada yang lepas kerana kita bercakap mengenai perkara dasar dan polisi,” katanya.

“Ucapan dasar bukan sekadar menyentuh apa yang berlaku hari ini, tetapi turut membawa cadangan tentang apa yang boleh dilakukan untuk membantu rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Aliff berkata Pemuda UMNO Kuala Selangor memberikan sokongan terhadap usaha tersebut sebagai satu pendekatan untuk memperkukuh parti dan menyatukan kekuatan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Kita di Pemuda Kuala Selangor sangat menyokong gagasan Rumah Bangsa yang dibawa Presiden.

“Yang penting, kita perlu membina kekuatan UMNO dan Barisan Nasional sendiri tanpa terlalu bergantung kepada parti-parti lain,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata Pemuda UMNO Kuala Selangor bersedia memperkemas gerak kerja jentera sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk memberi tumpuan kepada usaha memastikan kawasan yang bakal ditandingi berada dalam keadaan terbaik.

“Jentera perlu turun ke akar umbi, mendengar masalah rakyat dan memastikan setiap kawasan bersedia,” katanya.

“Persediaan perlu dimulakan sekarang dengan mengetepikan perbezaan serta memberi tumpuan kepada usaha memenangi hati rakyat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat