FIF Mr Perak 2026: Pentas untuk mereka yang mahu buktikan perubahan diri

Kalau selama ini pertandingan bina badan sering dikaitkan dengan atlet yang sudah lama berkecimpung dalam dunia kecergasan, FIF Mr Perak 2026 tampil dengan pendekatan yang lebih terbuka apabila turut memberi peluang kepada peserta baru, mereka yang sedang melalui perubahan bentuk badan serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk merasai pengalaman berada di atas pentas pertandingan, dengan matlamat utama mengajak lebih ramai masyarakat mengenali dan memilih gaya hidup yang lebih sihat.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Fitness International Federation (FIF) Perak itu akan berlangsung pada 27 September 2026 di Sentrac Banquet Hall, Ipoh, dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan menjadi penganjuran pertama FIF di Perak, dengan lebih 230 peserta dilaporkan sudah mendaftar setakat ini.

Bagi Pengarah FIF Perak, Kaliyapan Raguraman, atau lebih mesra dikenali sebagai Kali, penganjuran kali pertama di Perak ini bukan semata-mata mahu mencari siapa yang mempunyai bentuk badan paling menarik atau menentukan siapa yang bakal membawa pulang gelaran juara, sebaliknya beliau mahu menggunakan pertandingan tersebut sebagai satu cara untuk mengajak orang ramai, khususnya anak muda, mula mengambil berat tentang kesihatan dan menjadikan aktiviti kecergasan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

Menurut Kali, beliau sendiri baru sekitar sebulan memegang tanggungjawab sebagai Pengarah FIF Perak apabila mengambil keputusan untuk menganjurkan kejohanan tersebut, namun minatnya yang sudah lama terhadap bidang kecergasan membuatkan beliau berani mengambil tanggungjawab berkenaan.

Apa yang lebih penting baginya ialah mahu membawa lebih ramai anak muda mengenali bidang fitness kerana dunia ini bukan hanya tentang naik ke pentas dan bertanding, malah boleh menjadi satu cara untuk seseorang membina disiplin, menjaga pemakanan, mengurus masa dengan lebih baik dan dalam masa sama mencari peluang pekerjaan atau perniagaan dalam bidang kecergasan.

Kali juga mahu masyarakat memahami bahawa untuk mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang tidak perlu menunggu sehingga mempunyai tubuh seperti seorang atlet kerana perubahan itu boleh bermula dengan perkara mudah seperti menjaga pemakanan, melakukan senaman secara konsisten, mendapatkan tidur yang mencukupi dan menjaga kesihatan diri.

“Motif saya adalah untuk tukarkan gaya hidup anak muda. Tak kira Melayu, Cina atau India, saya nak mereka masuk dalam bidang ini dan lihat bahawa fitness bukan hanya untuk pertandingan, tetapi boleh menjadi satu cara hidup,” katanya.

Atas sebab itu juga, FIF Mr Perak 2026 tidak hanya menyediakan kategori utama bina badan, sebaliknya turut menyediakan beberapa kategori yang boleh disertai oleh peserta dengan pengalaman dan keadaan fizikal yang berbeza.

Antaranya ialah Men’s Bodybuilding, Men’s Classic, Men’s Physique, Jeans Model, Body Transformation serta kategori khas OKU.

Antara yang menjadi perhatian ialah kategori Body Transformation, yang dibuka kepada mereka yang pernah melalui perubahan ketara pada tubuh badan hasil usaha sendiri, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai bentuk badan atlet atau tidak.

Bagi kategori ini, peserta perlu menunjukkan keadaan sebelum dan selepas perubahan yang dilalui, termasuk melalui gambar atau video, supaya orang ramai dapat melihat sendiri sejauh mana usaha yang sudah dilakukan.

Kali berkata, peserta Body Transformation tidak semestinya perlu mempunyai six-pack atau tubuh seperti seorang bodybuilder kerana apa yang mahu dilihat ialah usaha mereka mengubah diri, sama ada daripada berat badan yang tinggi kepada keadaan lebih sihat ataupun daripada kehidupan yang kurang aktif kepada rutin yang lebih cergas.

Malah, peserta kategori ini diberikan peluang untuk menikmati pengalaman berada di atas pentas dan melakukan pose tanpa tekanan seperti pertandingan bina badan biasa.

“Dia orang dah usaha turunkan badan, daripada besar jadi lebih normal dan fit. Jadi saya nak bagi mereka peluang untuk enjoy pentas. First time naik pentas, mereka boleh rasa pengalaman itu dan mereka boleh bangga dengan perubahan yang sudah dibuat,” katanya.

Begitu juga dengan kategori First Timer, yang memberikan peluang kepada mereka yang langsung belum pernah menaiki pentas pertandingan untuk mencuba sesuatu yang mungkin sebelum ini hanya mereka lihat dari jauh.

Bagi Kali, peserta yang pertama kali menyertai pertandingan tidak sepatutnya terus berasa rendah diri hanya kerana belum mempunyai pengalaman seperti peserta lain kerana setiap atlet juga bermula dengan langkah pertama, malah keberanian untuk mencuba juga merupakan sebahagian daripada proses seseorang membina keyakinan terhadap diri sendiri.

Dalam pada itu, kategori Men’s Physique dan Men’s Classic memberikan pilihan kepada peserta yang mempunyai bentuk badan serta gaya persembahan berbeza, manakala kategori Jeans Model pula memberikan satu lagi ruang untuk peserta menunjukkan penampilan dan keyakinan mereka di atas pentas.

Namun begitu, antara perkara yang paling dekat dengan hati Kali ialah kewujudan kategori khas OKU, kerana menurutnya golongan tersebut juga mempunyai kemampuan untuk berada di atas pentas dan menunjukkan bahawa kecergasan bukan hanya untuk mereka yang mempunyai tubuh badan sempurna.

Kali berkongsi pengalaman ketika melihat peserta OKU menyertai pertandingan sebelum ini dan terpaksa berada dalam kategori yang sama dengan peserta biasa.

Sebagai seorang yang pernah melihat sendiri keadaan tersebut, beliau merasakan peserta OKU sepatutnya diberikan ruang yang lebih sesuai untuk menunjukkan kemampuan masing-masing tanpa perlu dibandingkan secara terus dengan peserta yang mempunyai keadaan fizikal berbeza.

Daripada situ, beliau mengambil keputusan untuk menyediakan kategori khas OKU dalam FIF Mr Perak 2026 supaya mereka juga dapat merasai pengalaman bertanding, menerima penghargaan dan paling penting, melihat bahawa keadaan fizikal bukan alasan untuk seseorang berhenti menjaga kesihatan atau mengejar minat dalam bidang kecergasan.

Apa yang pada awalnya hanya melibatkan beberapa peserta akhirnya mendapat sambutan lebih baik apabila semakin ramai individu OKU menyatakan minat selepas maklumat mengenai kategori itu dikongsikan kepada umum.

“Bila saya nampak dua orang peserta OKU naik pentas bersama peserta biasa, saya rasa kasihan sebab mereka sudah berusaha tetapi keadaan badan mereka memang berbeza. Jadi saya fikir kenapa kita tak buat satu kategori khas untuk mereka supaya mereka pun boleh rasa seronok berada atas pentas,” katanya.

Menurut Kali, selepas beliau berkongsi mengenai kategori berkenaan di media sosial, jumlah peserta OKU yang berminat meningkat dan kini kira-kira 10 peserta dijangka mengambil bahagian.

Bagi beliau, setiap seorang daripada mereka sudah dianggap sebagai juara kerana keberanian untuk tampil ke hadapan dan menunjukkan kemampuan diri kepada orang ramai.

Menariknya, penganjuran FIF Mr Perak 2026 juga tidak meletakkan bayaran masuk kepada penonton kerana Kali mahu orang ramai datang memenuhi dewan dan memberikan sokongan kepada para peserta yang bertanding, selain melihat sendiri bagaimana dunia kecergasan boleh menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan dan memberi manfaat kepada kesihatan.

Beliau mahu suasana pertandingan kali pertama FIF di Perak itu benar-benar meriah dengan kehadiran keluarga, rakan-rakan peserta, peminat kecergasan serta orang ramai yang mungkin baru pertama kali mengenali dunia bina badan.

Dalam masa sama, penganjur turut memberikan ruang kepada peniaga kecil dari Perak untuk membuka booth tanpa bayaran.

Kali berkata, beliau sengaja memilih peniaga tempatan dan tidak mahu hanya membawa masuk jenama besar atau nama yang sudah terkenal kerana baginya penganjuran ini juga boleh menjadi peluang kepada perniagaan kecil di Ipoh untuk memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai.

“Kalau peniaga kecil dari Perak, saya nak bagi mereka peluang. Sebab itu booth saya bagi percuma. Saya tak nak mereka fikir kena bayar mahal untuk masuk dalam event ini,” katanya.

Sokongan terhadap kejohanan tersebut turut hadir daripada penaja rasmi, termasuk jenama tempatan Fersyella, yang diwakili oleh Siti Nurfarahin binti Mohd Sharif.

Bagi Siti Nurfarahin, keputusan untuk menyokong FIF Mr Perak 2026 dibuat kerana pihaknya melihat kecergasan sebagai sesuatu yang boleh dinikmati oleh semua orang dan bukan hanya mereka yang sudah bergelar atlet.

Menurutnya, kewujudan kategori Body Transformation memberikan mesej yang cukup jelas bahawa seseorang yang sedang berusaha mengubah tubuh dan cara hidup juga layak diberikan penghargaan.

“Bagi kami, kemenangan bukan hanya tentang siapa yang berdiri di atas podium. Orang yang berani ubah gaya hidup, jaga kesihatan dan cuba menjadi lebih baik daripada dirinya semalam juga seorang juara,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang turut memberi ruang kepada peserta OKU juga menjadi antara sebab Fersyella memilih untuk menyokong kejohanan berkenaan kerana golongan tersebut jarang diberikan ruang yang sama dalam acara kecergasan.

Selain pertandingan, pengunjung yang hadir nanti juga boleh melihat pelbagai booth jualan dan pameran yang disediakan sepanjang acara berlangsung, termasuk booth Fersyella yang akan mengetengahkan produk tempatan serta beberapa jenama kecil yang turut mendapat peluang memperkenalkan perniagaan masing-masing.

Dari segi hadiah pula, FIF Mr Perak 2026 menawarkan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan sekitar RM10,000, selain trofi, pingat dan sijil kepada peserta yang berjaya.

Kategori utama bina badan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2,000 untuk juara, manakala beberapa kategori lain turut menyediakan hadiah kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.

Turut dipertandingkan ialah anugerah Champion of Champions, yang memberikan peluang kepada juara kategori tertentu untuk merebut satu lagi pengiktirafan istimewa pada penghujung pertandingan.

Bagi memastikan pertandingan berjalan dengan baik, FIF Mr Perak 2026 turut menampilkan barisan juri profesional yang terdiri daripada Charles Lee, Jessica Lee, Mark Yap, Ayswwini Dass, Jeffery Thiang, Hafidz bin Hassan dan Prasath Al Palanisamy.

Dua nama penting dalam FIF turut hadir sebagai tetamu khas juri iaitu Dennis Tew, Presiden Dunia FIF International, dan Ismail Ahmad, Presiden FIF Malaysia.

Majlis perasmian pembukaan pula akan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd. Tarmizi bin Haji Idris, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Encik Arvend Applasamy, Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dengan lebih 230 peserta yang sudah mendaftar, FIF Mr Perak 2026 dijangka menjadi antara acara kecergasan yang menarik perhatian peminat sukan di Perak pada penghujung September ini.

Namun, di sebalik pertandingan, hadiah wang tunai dan gelaran yang bakal direbut, tujuan utama penganjuran ini tetap kembali kepada perkara yang lebih mudah dan dekat dengan kehidupan semua orang, iaitu mengajak masyarakat memilih gaya hidup sihat.

Kali berharap mereka yang datang menonton bukan sahaja pulang dengan pengalaman menyaksikan pertandingan bina badan, tetapi turut mendapat sedikit dorongan untuk mula menjaga kesihatan sendiri, sama ada dengan berjalan kaki, bersenam, mengawal pemakanan atau sekadar mula memberi perhatian kepada keadaan tubuh badan.

Bagi beliau, seseorang tidak perlu menunggu sehingga mempunyai tubuh seperti atlet untuk mula hidup sihat kerana setiap perubahan boleh dimulakan mengikut kemampuan masing-masing.

Daripada seseorang yang mula mengurangkan makanan tidak sihat, bangun awal untuk bersenam, belajar menjaga tubuh badan dan akhirnya berani tampil di atas pentas, semuanya bermula dengan satu keputusan untuk mencuba.

Itulah mesej yang mahu dibawa FIF Mr Perak 2026 kepada orang ramai fitness bukan hanya untuk atlet, bukan hanya untuk mereka yang mahu bertanding, tetapi untuk sesiapa sahaja yang mahu menjaga kesihatan dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat