CYBERJAYA : Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Bukit Aman turut menyiasat Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung dakwaan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.
Rayer berkata siasatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan dakwaan berhubung pertemuan pemimpin parti itu dengan wakil Kedutaan AS pada ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada 2014.
Menurutnya, perkara berkenaan bukan isu kecil kerana dakwaan campur tangan kuasa asing dalam usaha menjatuhkan kerajaan boleh memberi implikasi serius terhadap demokrasi berparlimen dan sistem Raja Berperlembagaan.
“Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mendakwa secara terbuka bahawa pemimpin PAS, termasuk Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri Mokhtar, menghadiri satu pertemuan di Kedutaan AS ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada 2014.
“Dalam pertemuan itu, pihak AS didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan dan mengambil alih kerajaan,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 7 September.
Rayer turut mempersoalkan kenyataan Takiyuddin yang mengesahkan pertemuan dengan wakil Kedutaan AS itu berlaku.
Katanya, Takiyuddin dilaporkan berkata wakil berkenaan bertanyakan sama ada PAS merancang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu, namun PAS menolak campur tangan asing.
“Kenapa beliau tidak melaporkannya kepada polis atau Yang di-Pertuan Agong?” soal Rayer.
Beliau berkata pengakuan mengenai kewujudan pertemuan itu sudah memadai untuk pihak berkuasa mendapatkan penjelasan lanjut dan menentukan fakta sebenar.
Antara perkara yang perlu disiasat, katanya, termasuk perkara yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan, pihak yang memulakannya, siapa yang hadir, apakah yang ditawarkan dan diminta serta sama ada terdapat cadangan untuk memudahkan usaha menjatuhkan kerajaan yang dipilih.
Rayer turut mempersoalkan sama ada wujud komunikasi atau pertemuan susulan selepas pertemuan tersebut.
“Dan yang paling penting, adakah perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa Malaysia pada ketika itu oleh Takiyuddin yang merupakan seorang peguam kanan berpengalaman?” katanya.
Beliau berkata perkara tersebut tidak boleh hanya dijawab melalui kenyataan politik selepas kejadian berlaku.
Rayer turut merujuk Seksyen 124C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi perbuatan berkaitan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen atau perbuatan persediaan ke arah aktiviti berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui sama ada fakta yang diperoleh hasil siasatan itu memenuhi unsur kesalahan di bawah Seksyen 124C atau mana-mana peruntukan undang-undang lain adalah perkara untuk ditentukan polis dan Jabatan Peguam Negara.
“Namun, itulah sebabnya Takiyuddin dan Samsuri mesti disiasat dan kenyataan mereka direkodkan, bukan hanya Tok Guru Hadi Awang,” katanya.
Rayer berkata sebagai seorang peguam berpengalaman dan pemimpin politik kanan, Takiyuddin wajar menjelaskan sama ada beliau pernah melaporkan dakwaan pendekatan kuasa asing itu kepada pihak berkuasa atau Yang di-Pertuan Agong.
Di akhir kenyataannya, Rayer turut mempersoalkan tahap patriotisme dan kesetiaan Hadi, Takiyuddin serta Samsuri susulan dakwaan tersebut.


