KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan berlakunya kebakaran tanah gambut di sekitar Jalan Bypass Sebana Cove–Punggai, Pengerang, yang kini sedang ditangani oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota bomba serta agensi yang terlibat yang terus bertungkus-lumus mengawal kebakaran ini.
“Saya mendoakan agar semua petugas diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa berada dalam keadaan selamat sepanjang operasi.
“Saya juga telah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berhubung situasi ini. Beliau telah memberikan komitmen untuk membantu mempercepatkan apa jua bantuan dan keperluan yang diperlukan bagi menyokong usaha mengawal serta memadamkan kebakaran.
“Semoga keadaan dapat dikawal sepenuhnya dengan segera. Kepada warga Pengerang, teruskan berwaspada dan elakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca semasa,” katanya.



