Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sambung semula operasi penerbangan

JAKARTA – Lapangan terbang utama Indonesia dan beberapa hab perjalanan udara lain dibuka semula hari ini selepas ditutup beberapa hari disebabkan abu letusan gunung berapi, kata Kementerian Pengangkutan.

Kementerian itu menulis di laman Instagram bahawa lapangan terbang yang berkhidmat untuk ibu negara, Jakarta dan empat lagi di Pulau Jawa beroperasi semula, berikutan krisis keselamatan udara yang menyebabkan ratusan ribu penumpang terkandas kini semakin reda, lapor AFP.

Gunung Anak Krakatau yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Jakarta meletus pada Sabtu lalu, menghamburkan lahar dan kepulan abu.

Lapan lapangan terbang menghentikan operasi hujung minggu lalu selepas abu dikesan di ruang udara, menyebabkan hampir 3,000 penerbangan dibatalkan dan lebih 340,000 penumpang terkandas, kata Kementerian Pengangkutan Indonesia semalam.

Awal pagi tadi, kementerian sama berkata, lapangan terbang Jakarta dan empat yang lain beroperasi semula.

“Berkenaan aktiviti letusan gunung berapi Anak Krakatau, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah menyambung semula operasi penerbangan,” kata pihak pengurusan.

Sebelum ini, penutupan lapangan terbang di Indonesia dilanjutkan berulang kali.

Empat lapangan terbang lain yang juga dibuka semula termasuk Halim Perdanakusuma di Jakarta, Hussein Sastranegara di Bandung dan sebuah lapangan terbang kecil di selatan Pulau Sumatera.

Lebih 240 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan atau ditangguhkan akibat abu gunung berapi pagi semalam, kata pengurusan lapangan terbang Soekarno-Hatta, sambil menambah bahawa hampir 30,000 penumpangnya terjejas.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat