Penduduk di KITA @ Cybersouth bakal mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan harian apabila MYDIN dipilih sebagai pasar raya pertama yang akan beroperasi di perbandaran berkenaan.
Kehadiran MYDIN di KITA @ Cybersouth hadir menerusi kerjasama bersama LBS Bina Group Berhad (LBS) selepas kedua-dua pihak memeterai Perjanjian Penyewaan dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), salah sebuah peruncit tempatan berstatus halal yang sudah lama dikenali dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Dengan pembangunan KITA @ Cybersouth yang terus berkembang dan jumlah penduduk yang semakin bertambah, pembukaan MYDIN dilihat dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat setempat yang selama ini memerlukan akses lebih dekat kepada barangan dapur, keperluan isi rumah dan pelbagai produk harian.
Perjanjian berkenaan dimeterai dalam satu majlis rasmi yang berlangsung pada 5 September 2026 di Galeri Jualan LBS, KITA @ Cybersouth, bersempena sambutan KITA Merdeka anjuran LBS.
Majlis menandatangani perjanjian itu menyaksikan Datuk Wira Lim Hock Guan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, serta Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN, menandatangani dokumen berkenaan. Majlis turut disaksikan Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, dan Tuan Ahimmat Mydin, Pengarah Eksekutif MYDIN.

Bagi sebuah perbandaran yang sedang melalui proses pembangunan, kehadiran pasar raya bukan sekadar menambah satu lagi tempat untuk membeli-belah. Ia menjadi sebahagian daripada kemudahan yang diperlukan apabila sesebuah kawasan kediaman mula dihuni dan komuniti di dalamnya semakin bertambah.
Di KITA @ Cybersouth, peningkatan penduduk turut membawa perubahan kepada keperluan seharian. Daripada membeli barang dapur, barangan rumah dan keperluan keluarga hinggalah mencari tempat untuk membeli-belah bersama keluarga, kemudahan seperti pasar raya semakin menjadi sebahagian penting dalam kehidupan penduduk.
Sehubungan itu, pembukaan MYDIN dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk KITA @ Cybersouth dan kawasan sekitarnya, selain merancakkan kegiatan perniagaan di kawasan komersial yang sedang dibangunkan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, berkata perkembangan sesebuah perbandaran perlu berjalan seiring dengan penyediaan kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat.
“Sejajar dengan perkembangan KITA @ Cybersouth, adalah penting untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di dalam perbandaran ini terus berkembang selaras dengan keperluan para penduduk. Kehadiran MYDIN sebagai pasar raya pertama di perbandaran ini merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan sebuah komuniti yang lebih lengkap, dan MYDIN merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai serta mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap keperluan pengguna di Malaysia. Sudah tentu kami amat berbesar hati serta mengalu-alukan kehadiran MYDIN ke KITA @ Cybersouth,” katanya.
Bercakap kepada media selepas majlis tersebut, Tan Sri Lim turut menjelaskan bahawa kerjasama berkenaan merupakan antara pendekatan baharu LBS dalam melihat keperluan sesuatu kawasan selepas penduduk mula menetap di situ.
Menurut beliau, pembangunan hartanah sebelum ini lebih banyak memberi tumpuan kepada pembinaan rumah dan kedai, namun perubahan keperluan pembeli hari ini menyebabkan pemaju perlu melihat kepada kemudahan yang boleh digunakan terus oleh masyarakat setempat.
Beliau berkata KITA @ Cybersouth kini mempunyai kira-kira 7,200 unit yang telah siap atau sedang memasuki peringkat penyerahan, dengan jumlah penduduk di kawasan berkenaan dianggarkan sekitar 28,000 hingga 30,000 orang.
Dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat, kehadiran sebuah pasar raya seperti MYDIN dilihat dapat memudahkan urusan harian penduduk, terutama bagi mereka yang tidak mahu keluar jauh untuk mendapatkan barangan dapur dan keperluan rumah.
Sementara itu, Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN, berkata keputusan untuk membuka pasar raya pertama MYDIN di KITA @ Cybersouth dibuat berdasarkan perkembangan kawasan berkenaan serta jumlah penduduk yang semakin meningkat.
Beliau berkata perubahan dalam pasaran peruncitan turut menyebabkan MYDIN kini melihat kepada format kedai yang lebih pelbagai dan tidak hanya bergantung kepada hypermarket bersaiz besar.
Menurutnya, MYDIN kini turut membuka cawangan dalam format kedai lot serta bangunan berdiri sendiri, bergantung kepada keluasan tanah dan keadaan sesebuah kawasan.
Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, MYDIN telah membuka 15 cawangan baharu di seluruh Malaysia dan merancang untuk membuka 15 lagi cawangan menjelang penghujung tahun ini.
“Market is changing, jadi kita dalam perniagaan ini perlu ikut pasaran. Kita akan buka lebih banyak cawangan, tetapi bukan semuanya hypermarket yang besar. Ada kawasan yang tanahnya tidak besar, jadi kita akan sesuaikan saiz kedai mengikut apa yang tersedia di lokasi,” katanya.
Bagi KITA @ Cybersouth, MYDIN akan menempati kawasan tanah seluas 1.37 ekar dengan keluasan binaan kira-kira 24,000 kaki persegi. Menurut Ameer, saiz berkenaan disesuaikan dengan keadaan tanah dan keperluan kawasan tersebut.
Beliau berkata MYDIN turut melihat kepada jenis komuniti yang tinggal di sesuatu kawasan sebelum membuka cawangan, termasuk dari segi campuran pendapatan penduduk.
“Kita nampak tempat ini sesuai untuk MYDIN dari segi komuniti dan juga campuran pendapatan. Pelanggan MYDIN lebih kepada B40 dan M40, jadi kita nampak kawasan ini memang sesuai,” katanya.
Selain harga barangan yang berpatutan, Ameer berkata MYDIN turut memberi perhatian kepada perkhidmatan dan kesegaran produk yang ditawarkan kepada pengguna.
Beliau secara khusus menyebut barangan basah sebagai antara keutamaan kerana ia merupakan keperluan harian bagi kebanyakan keluarga.
“Yang penting dalam perniagaan ini, harga kena berpatutan, perkhidmatan kena baik dan makanan mesti segar. Barangan basah merupakan antara keutamaan bagi komuniti kita,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu turut diterapkan dalam cawangan MYDIN yang menggunakan format lebih kecil, termasuk kedai yang menggabungkan beberapa lot. Sebahagian ruang akan digunakan untuk menawarkan barangan basah supaya keperluan asas pengguna masih boleh didapati walaupun saiz pasar raya tidak sebesar hypermarket konvensional.
“Kami mahu MYDIN menjadi lebih daripada sebuah destinasi membeli belah, dan menjadi sebahagian daripada komuniti ini selaras dengan perkembangannya dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, di samping menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa kepada para penduduk,” katanya.
KITA @ Cybersouth dibangunkan di atas kawasan seluas kira-kira 633 ekar Tanah Rizab Melayu dan dirancang sebagai sebuah perbandaran yang menggabungkan kawasan kediaman, komersial, kemudahan komuniti serta jaringan perhubungan yang memudahkan penduduk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
Dalam pembangunan berkenaan, MYDIN akan menempati kawasan tanah seluas 1.37 ekar dengan keluasan binaan kira-kira 24,000 kaki persegi. Kehadirannya akan melengkapkan KITA Avenue Square yang kini sedang dalam pembinaan dan ditawarkan pada harga bermula RM1,399,000.
Dengan adanya MYDIN, penduduk bukan sahaja mendapat akses kepada barangan keperluan harian, malah kehadiran sebuah nama yang sudah dikenali dalam industri peruncitan tempatan dijangka turut memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat sekitar.
KITA @ Cybersouth kini mempunyai anggaran penduduk seramai kira-kira 67,000 orang, dengan majoritinya terdiri daripada golongan muda. Data LBS menunjukkan kira-kira 63 peratus pembeli berusia 40 tahun ke bawah, sekali gus menggambarkan permintaan daripada keluarga muda yang semakin membentuk komuniti di kawasan tersebut.
Secara keseluruhan, pembangunan KITA @ Cybersouth dirancang melibatkan kira-kira 16,000 unit. Daripada jumlah itu, sekitar 40 peratus telah siap dibangunkan, manakala kira-kira lima peratus sedang dalam proses pembangunan dan baki 55 peratus masih berada pada peringkat perancangan.
Perkembangan ini menunjukkan KITA @ Cybersouth masih mempunyai ruang yang besar untuk terus berkembang pada tahun-tahun akan datang, dengan pertambahan penduduk dijangka berjalan seiring dengan keperluan terhadap kemudahan membeli-belah, perkhidmatan dan ruang komersial.
Dalam sesi bersama media, kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai kemungkinan kerjasama pada projek lain pada masa akan datang. Ameer berkata kerjasama di KITA @ Cybersouth boleh dilihat sebagai permulaan dan kedua-dua pihak perlu melihat perkembangan operasi serta sambutan penduduk selepas pasar raya itu dibuka.
Perjanjian penyewaan tersebut melibatkan empat tempoh, dengan setiap tempoh selama tiga tahun, menjadikan keseluruhan tempoh perjanjian selama 12 tahun.
Dari segi pembinaan, bangunan MYDIN dijangka siap sekitar pertengahan tahun depan, manakala operasi pasar raya berkenaan disasarkan bermula sekitar suku ketiga tahun depan selepas kerja persediaan selesai.
Bagi LBS, kerjasama dengan MYDIN juga membuka ruang untuk pendekatan yang sama dipertimbangkan dalam beberapa pembangunan lain pada masa akan datang, terutama di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang semakin meningkat dan memerlukan kemudahan membeli-belah yang lebih dekat.
Kerjasama LBS dan MYDIN juga selari dengan aspirasi LBS menerusi *Bersama Membina Masa Depan*, dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan sebuah kawasan yang bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, tetapi turut mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk kehidupan seharian.
Dengan MYDIN bakal menjadi pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth, penduduk kini mempunyai satu lagi kemudahan yang boleh menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka. Bagi kawasan yang sedang membesar seperti Cybersouth, kehadiran kemudahan seperti ini menjadi antara tanda bahawa sebuah kawasan kediaman sedang berubah menjadi sebuah komuniti yang semakin lengkap untuk didiami.



