Belanjawan 2027: KKR mohon peruntukan khas jurutera daerah dinaikkan RM300,000

Oleh Zihan Zari

JITRA – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) agar peruntukan khas kepada setiap Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat dinaikkan bagi mempercepat kerja-kerja penyelenggaraan kecil, membaiki kerosakan jalan raya, menangani aduan kecil dan luar jangka dalam kadar segera.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, KKR telah memohon agar diberikan peruntukan itu dapat ditingkatkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 setahun dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada Oktober ini .

Menurut beliau, sesi libat urus dan dialog bagi Belanjawan 2027 antara MoF dan KKR telah diadakan secara rasmi pada 18 Ogos lalu di Putrajaya diketuai oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. KKR telah mengemukakan cadangan agar peruntukan khas bagi setiap JD dinaikkan kepada RM300,000.

“Buat masa ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta secara keseluruhan, iaitu RM200,000 setahun setiap seorang untuk 115 JD di seluruh negara, oleh itu kita berharap agar permohonan itu dapat diterima dan diluluskan,”menurutnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Pejabat Jurutera Daerah JKR Kubang Pasu, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah JKR Kedah, Ir. Mohd. Fisal Ismail; Jurutera Daerah JKR Kubang Pasu, Ir. Ahmad Shahril Azli; Ketua-ketua Bahagian JKR dan JD dari seluruh Kedah.

Dr. Ahmad berkata, penambahan peruntukan khas itu penting bagi membolehkan setiap aduan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan kerja-kerja segera dapat dijalankan oleh JD tanpa perlu melalui prosedur perolehan biasa yang mengambil masa yang lama.

Katanya, peruntukkan sedia ada telah bermula sejak tahun 2024 yang membolehkan setiap JD melaksanakan kerja-kerja segera antaranya, membaiki garisan jalan, longkang, pokok yang perlu dicantas, perabot jalan, isyarat serta papan tanda yang terlalu uzur.

“Sekiranya berlaku kemalangan dan papan tanda atau pengadang jalan rosak, kita boleh terus membaikinya dengan segera melalui peruntukan itu.

“Peningkatan jumlah peruntukan itu penting memandangkan kos penyelenggaraan semakin meningkat, seperti membaiki garisan jalan, membersihkan longkang, mencantas pokok berbahaya, membaiki perabot jalan, papan tanda, serta pengadang jalan rosak akibat kemalangan yang perlu diperbaiki dengan kadar segera.

“KKR berharap terus kekal sebagai kementerian yang menerima agihan peruntukan pembangunan tertinggi dalam kalangan 28 buah kementerian untuk meneruskan projek infrastruktur rakyat dapat dilaksanakan, ”katanya lagi.

Ujarnya, tahun ini KKR telah menerima peruntukan sebanyak RM9.6 bilion bagi pembangunan, pembinaan, penyelenggaraan jalan, bangunan, kerja membaiki dan membina cerun serta jambatan.

“Jadi kita berharap tahun depan bukan sahaja peruntukan kepada JD dapat ditambah, tetapi KKR dikekalkan sebagai kementerian yang menerima peruntukan pembangunan terbesar kerana masih banyak projek pembangunan untuk rakyat perlu dilaksanakan”ujarnya lagi.

Terdahulu, Ahmad dalam sesi taklimat telah memberi tumpuan kepada pengukuhan penyampaian perkhidmatan serta keperluan JKR di peringkat daerah dengan menekankan pendekatan 5K, 5A dan 5T sebagai panduan dalam memperkukuh budaya kerja, kecekapan pengurusan serta penyampaian perkhidmatan JKR.

Beliau menjelaskan 5K iaitu, Kepantasan Tindakan, Kos yang Munasabah, Kualiti yang Terjamin, Keberkesanan Inovasi, dan Kecekapan Penyampaian.

Manakala 5A ialah, Akrab Sepasukan, Adil Keputusan, Awal Jadual (Ahead of Time), Amalan Terbaik (Best Practices), dan Azam Memperbaiki. 5T pula , Turun Padang (TURPA), Teamwork, Teknologi Terkini, Time Management, dan Terbaik Segalanya.

Beliau turut meluangkan masa bersama warga JKR Kubang Pasu, untuk berinteraksi secara lebih dekat, menyantuni serta menyuntik semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat