Rakyat mahu penyelesaian banjir, bukan pertandingan rekod siapa lebih buruk – Khir Toyo

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menegaskan bahawa masalah banjir memerlukan penyelesaian berkesan dan bukannya pertikaian politik mengenai rekod pentadbiran siapa yang lebih buruk.

Menjawab kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, beliau berkata rekod kerajaan terdahulu boleh diperiksa, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan berterusan bagi masalah yang masih membelenggu rakyat hari ini.

“Penduduk yang rumahnya ditenggelami air tidak mendapat manfaat daripada pertikaman lidah politik. Mereka memerlukan tindakan yang dapat mengurangkan risiko, melindungi harta benda dan mengelakkan penderitaan yang sama berulang.

“Kepada merekalah kita semua perlu memberikan jawapan,” katanya menerusi tulisan bertajuk “Banjir Memerlukan Penyelesaian, Bukan Pertandingan Rekod Siapa Lebih Buruk”.

Tulisan itu menjawab kenyataan media Saifuddin bertajuk “Banjir Tak Padam Rekod Khir Toyo” bertarikh 6 November lalu, yang antara lain meminta beliau mengemukakan bukti teknikal bagi menyokong hujah mengenai projek Canal City.

Khir berkata, beliau tidak pernah mendakwa bahawa Selangor bebas daripada banjir ketika berada di bawah pentadbirannya.

Sebaliknya, menurut beliau, kejadian banjir ketika itulah yang mendorong kerajaan negeri mencadangkan Canal City sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian jangka panjang.

“Saya tidak pernah mengatakan zaman saya tiada banjir, kerana ada banjir itulah maka kerajaan negeri ketika itu mencadangkan projek Canal City sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Menurut penjelasan Khir, cadangan tersebut merangkumi pembinaan terusan utama sepanjang kira-kira 18 kilometer yang menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat, bersama pembangunan sebuah perbandaran baharu.

Beliau berkata, terusan itu dicadangkan sebagai laluan tambahan untuk mengalihkan sebahagian aliran air Sungai Klang ketika aliran puncak, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap sungai dan risiko limpahan di kawasan terlibat.

Khir turut mempersoalkan keputusan pembatalan projek berkenaan dan mendakwa pertimbangan politik mempengaruhi tindakan tersebut kerana ia dicadangkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Saya bukan mahu mendabik dada mengatakan saya pandai atau pentadbiran saya paling hebat, namun saya sangat kecewa apabila projek Canal City yang sepatutnya menjadi pelan besar meminimakan banjir dibatalkan oleh kerajaan pimpinan PKR,” katanya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dijawab Khir itu, Saifuddin memberikan alasan berbeza berhubung pembatalan komponen tebatan banjir tersebut.

Menurut Saifuddin, penjelasan Permodalan Negeri Selangor Berhad pada 2014 menyatakan bahawa keputusan itu berasaskan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang mendapati kapasiti kolam takungan sedia ada ketika itu mencukupi.

Beliau berkata, pembatalannya dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2010, sambil meminta Khir mengemukakan analisis kejuruteraan yang menyangkal dapatan berkenaan sekiranya mahu mempertikaikan keputusan tersebut.

Saifuddin turut membangkitkan rekod banjir ketika pentadbiran Khir, termasuk kejadian di TTDI Jaya pada 26 Februari 2006, serta meminta laporan kebolehlaksanaan, pecahan kos dan sumber pembiayaan projek dikemukakan sekiranya beliau terus mempertahankan cadangan itu.

Dalam tulisannya, Khir menegaskan bahawa selepas lebih 18 tahun mentadbir, kerajaan negeri perlu menjelaskan keberkesanan perancangan yang dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut mempersoalkan pendekatan projek tebatan banjir dan pendalaman sungai yang menurut penilaiannya masih belum membawa perubahan mencukupi kepada keadaan yang dihadapi penduduk.

“Saban tahun yang diumumkan ialah projek tebatan banjir dan mendalamkan sungai yang sudah diketahui tidak banyak mengubah keadaan. Mengapa masih mengulang hal yang sama?” soalnya.

Menurutnya, hujan lebat dan banjir sememangnya kejadian alam, tetapi pemimpin yang diberikan kuasa mempunyai tanggungjawab mencari jalan mengurangkan risiko serta kesannya terhadap rakyat.

“Rekod pentadbiran terdahulu boleh diperiksa, tetapi ia tidak boleh menjadi alasan berterusan bagi masalah yang masih dihadapi rakyat hari ini,” katanya.

Mengakhiri tulisan itu dengan kritikan keras, Khir mempersoalkan tindakan mengulangi pendekatan yang disifatkannya gagal sambil mengharapkan hasil berbeza.

“Gagal sekali mungkin tersilap langkah. Mengulangi langkah yang sama selama hampir 20 tahun sambil mengharapkan hasil berbeza ialah kebodohan yang rakyat terpaksa bayar,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat