KUALA LUMPUR – YouTuber politik sensasi Affendy Zainan Karap atau dikenali Jebat derhaka mendesak campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Saiful Ezran Ariffin berhubung dakwaan penerimaan wang RM350,000.
Dalam memorandum yang dikemukakan Jebat Derhaka kepada Perdana Menteri, beliau memohon campur tangan Anwar supaya tindakan segera diambil untuk menggantung tugas beliau sehingga siasatan selesai, mengikut peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.
“Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana laporan polis bertarikh 11 Oktober 2026 yang dirujuk dalam memorandum ini dibuat oleh Maharidzwan Mahadzir, yang menyatakan pekerjaannya sebagai Pegawai Siasatan SPRM.
“Dalam salinan laporan tersebut, beliau menyatakan bahawa penerimaan wang RM350,000 adalah benar dan menggesa pihak polis menyiasat penerimaan wang berkenaan oleh Datuk Saiful.
“Kenyataan ini perlu diuji melalui siasatan dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan bahawa kesalahan telah terbukti.
“Dalam laporan yang sama, Maharidzwan turut menafikan penglibatannya dalam mewujudkan dana pencegahan sebagaimana yang didakwa dalam laporan media yang dirujuknya.
“Percanggahan mengenai tujuan wang tersebut dan pihak yang terlibat menuntut penelitian terhadap dokumen, keterangan saksi serta aliran wang yang berkaitan.
“Saya turut dimaklumkan bahawa seorang ahli politik, yang dikaitkan dengan penyerahan wang tersebut, pernah memberikan pengakuan kepada SPRM berhubung perkara ini.
“Saya memohon agar pihak penyiasat mengesahkan maklumat tersebut, mendapatkan rekod keterangan yang berkaitan dan meneliti kandungannya bersama bukti lain. Maklumat mengenai pengakuan itu tidak wajar dianggap sebagai fakta yang telah disahkan tanpa penelitian pihak penyiasat.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Jais Abdul Karim, selaku Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), turut membuat laporan berhubung perkara ini.
“Saya memohon agar kewujudan dan kandungan laporan berkenaan disahkan serta diteliti bersama laporan lain yang berkaitan,” gesa beliau.
Menurut Jebat Derhaka lagi, dakwaan penerimaan wang ratusan ribu ringgit yang melibatkan seorang pegawai kanan agensi antirasuah menuntut penelitian serius, bebas dan menyeluruh.
“Kedudukan beliau sebagai pegawai kanan menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan proses siasatan sekiranya beliau terus menjalankan tugas, mempunyai akses kepada pejabat, dokumen, sistem dalaman dan kakitangan yang mungkin berkaitan dengan perkara yang disiasat.
“Kebimbangan ini menjadi lebih ketara sekiranya pegawai yang ditugaskan menyiasat atau saksi yang perlu memberikan keterangan mempunyai pangkat lebih rendah daripada beliau,” katanya.
Selain itu kata beliau lagi, permohonan penggantungan tugas bukan hukuman awal bahkan bukan bertujuan mengisytiharkan Saiful Ezran bersalah sebelum proses undang-undang diselesaikan.
“Penggantungan tugas sementara merupakan langkah yang dimohon bagi mengelakkan konflik kepentingan, memelihara bukti dan memberikan ruang kepada pegawai penyiasat serta saksi menjalankan tanggungjawab tanpa kebimbangan terhadap pengaruh jawatan.
“Langkah ini juga dapat melindungi kredibiliti hasil siasatan dan mengurangkan pertikaian mengenai kebebasan proses tersebut kelak.
“Ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah mesti terpakai kepada semua pihak, termasuk pegawai kanan agensi penguatkuasaan.
“Pangkat, jawatan dan kedudukan tidak boleh menjadi alasan untuk memberikan layanan istimewa atau mengecualikan seseorang daripada langkah pentadbiran yang wajar bagi melindungi siasatan.
Kerajaan tidak boleh dilihat tegas terhadap rakyat biasa tetapi teragak-agak apabila dakwaan melibatkan pegawai kanan institusi sendiri.
“Sebarang perbezaan tindakan mesti mempunyai alasan yang jelas dan dapat dipertanggungjawabkan,” katanya.
Menurut Jebat Derhaka lagi, jika dakwaan melibatkan jumlah kecil sekalipun diberikan perhatian serius, dakwaan penerimaan wang ratusan ribu ringgit oleh pegawai kanan agensi antirasuah tidak boleh dilayan dengan lebih ringan.
“Saya tidak menuntut sesiapa diaibkan, tetapi menuntut ketegasan dan layanan yang sama di sisi undang-undang.
“Kerajaan mesti mengelakkan persepsi bahawa wujud kelompok berpengaruh (‘mafia korporat’) yang bebas menggunakan kedudukan dan saling melindungi.
“Persepsi sedemikian hanya dapat ditangani melalui tindakan yang telus, siasatan yang bebas dan penjelasan yang dapat dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar Perdana Menteri memastikan perkara berikut diberikan perhatian segera iaitu kerajaan mengambil tindakan menggantung tugas Saiful Ezran sehingga siasatan selesai, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
“Dan sepanjang tempoh tersebut, akses beliau kepada dokumen, sistem, premis dan urusan rasmi yang berkaitan dengan siasatan disekat mengikut keperluan serta kuasa yang sah.
“Siasatan dikendalikan oleh pasukan yang bebas daripada hubungan penyeliaan atau konflik kepentingan dengan beliau, dengan pengawasan yang dapat menjamin kebebasan pegawai penyiasat.
“Semua saksi dan pegawai yang memberikan kerjasama dilindungi daripada sebarang tekanan, gangguan atau tindakan balas.
“Perkembangan dan hasil siasatan dijelaskan kepada masyarakat setakat yang dibenarkan undang-undang, tanpa menjejaskan siasatan atau prosiding mahkamah.
“Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, tindakan undang-undang hendaklah diambil tanpa pilih kasih. Sekiranya dakwaan tidak dapat dibuktikan, keputusan itu juga perlu dijelaskan secara terbuka dan bertanggungjawab,” saran beliau.
Tegas Jebat Derhaka lagi, kepercayaan rakyat terhadap SPRM bergantung pada kesediaan institusi itu menangani dakwaan terhadap pegawainya sendiri dengan ketegasan dan ketelusan yang sama seperti terhadap pihak lain.
“Membiarkan seorang pegawai kanan terus menjalankan tugas ketika dakwaan serius terhadapnya disiasat boleh menimbulkan keraguan yang akhirnya menjejaskan keyakinan terhadap keseluruhan proses.
“Oleh itu, saya memohon tindakan segera bagi memastikan siasatan bukan sahaja bebas, tetapi dapat diyakini sebagai bebas oleh masyarakat.
“Kes ini mesti diselesaikan berdasarkan bukti dan undang-undang, tanpa perlindungan kerana pangkat atau kedudukan, serta tanpa membiarkan hasilnya tergantung tanpa penjelasan,” katanya.


