AS sangkal Hadi konon pernah campur tangan urusan politik Malaysia

KUALA LUMPUR- Amerika Syarikat (AS) menafikan pernah cuba untuk mencampuri urusan politik Malaysia atau berusaha menjatuhkan mana-mana pihak seperti yang didakwa sebuah parti politik.

Penegasan itu dinyatakan oleh Kuasa Usaha Sementara AS ke Malaysia David H. Gamble Jr yang menyifatkan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang menjadi pemimpin politik Malaysia.

“Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah palsu,” katanya di Facebook, pada Ahad.

Terdahulu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa AS pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam itu untuk menjatuhkan Umno dan mengambil alih kerajaan.

Hadi mendakwa, tawaran berkenaan dibuat ketika lawatan bekas Presiden AS Barack Obama ke Malaysia pada 2014, selepas beberapa pemimpin Pas dipelawa menghadiri pertemuan di Kedutaan AS.

Beliau berkata, pertemuan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang ketika itu Setiausaha Politiknya, serta Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika itu Penolong Setiausaha Agung Pas.

Pun begitu, Hadi mendakwa kedua-dua pemimpin berkenaan tidak terpengaruh dengan tawaran tersebut, lapor Utusan pada Isnin.

Susulan dakwaan itu Hadi digesa mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa AS pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.

Sementara itu, Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng berkata, dakwaan Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu merupakan tuduhan berat dan tidak boleh dibuktikan hanya dengan tepukan di Muktamar Pas.

Lip Eng turut mempersoalkan sama ada Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dan Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa ketika itu.

“Saya menuntut ja­wapan jelas. Jika sudah laporkan, nyatakan bila dan kepada siapa. Jika belum, mengapa kejadian didakwa berlaku 12 tahun lalu tidak dilaporkan?

“Hadi sudah membuat dakwaan, kini kemukakan bukti. Kedaulatan negara bukan modal ceramah,” katanya dalam ke­nyataan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat