MELAKA – Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kekal sebagai satu-satunya ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, tegas ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui bersama kepimpinan UMNO Melaka dan tidak timbul soal mengetengahkan mana-mana pemimpin lain untuk menggantikan Ketua Menteri berkenaan.
Noor Helmy dalam satu hantaran di media sosialnya hari ini berkongsi kenyataan yang diberikannya kepada Utusan Online berhubung dakwaan wujud gerakan mengaitkan namanya bersama beberapa ADUN lain dalam usaha melaga-lagakan mereka dengan Ab Rauf.
Menurutnya, pada peringkat awal perkara berkenaan dianggap sekadar gosip, namun apabila ia dilihat semakin tersusun dan sistematik, beliau mengesyaki terdapat usaha tertentu untuk mencetuskan perbalahan dalam kepimpinan negeri.
“Mula-mula kita gelak ketawalah bila tengok perkara ini sebab ia adalah gosip. Biasalah. Siapa-siapa pun boleh tulis.
“Tapi bila kita tengok gerakan ini macam lebih kepada tersusun, nampak sistematik. Macam satu usaha.
“Jadi, kita keluarkan juga kenyataan bahawa apa pun berlaku, ‘poster boy’ negeri ini satu sahaja, Datuk Seri Utama Abdul Rauf Yusoh. Itu telah disetujui bersama oleh kepimpinan kami di peringkat negeri. Tidak payah hendak ubah-ubah lagi,” katanya.
Noor Helmy berkata, Ab Rauf mengambil alih kepimpinan Melaka ketika berdepan pelbagai persepsi negatif, namun berjaya menjawab kritikan melalui perubahan yang dilaksanakan dalam pentadbiran negeri.
Beliau antaranya menunjuk kepada perkembangan sektor pelancongan, dengan Melaka menerima kira-kira 15 juta pengunjung pada 2024 dan jumlah hampir sama pada 2025, manakala bagi tahun ini jumlahnya didakwa sudah menghampiri 10 juta setakat Ogos.
Menurutnya, kemasukan jutaan pelancong memberi kesan segera kepada ekonomi tempatan menerusi perbelanjaan mereka, sementara pelaburan baharu dan pembukaan kawasan perindustrian pula bakal menyediakan peluang pekerjaan.
Pada masa sama, katanya, usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedang dilaksanakan bagi menyediakan tenaga kerja tempatan untuk pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik.
“Sebenarnya hari ini, apa lagi kita mahu pertikaikan kemampuan beliau sebagai pentadbir negeri Melaka.
“Jadi, orang luar tidak payah hendak laga-lagakan kami. Kami tahu siapa ketua. Kamu boleh berkata macam-macam. Tetapi akhirnya kata-kata itu tidak akan memberi apa-apa ancaman,” katanya.
Beliau turut menegaskan seluruh kepimpinan UMNO Melaka, daripada peringkat cawangan, bahagian hingga negeri, memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ab Rauf.
“Hari ini, saya berani menzahirkan bahawa seluruh kepimpinan UMNO Melaka daripada peringkat cawangan, bahagian dan negeri memberi sokongan penuh di belakang kepimpinan Ab Rauf,” katanya.



