KUALA LUMPUR — Keputusan meningkatkan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, termasuk menteri daripada PAS ketika itu, kata bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul yang kini Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkata, cabutan khas bukan perkara baharu kerana telah diperkenalkan sejak 1999, manakala had maksimum 22 kali setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.
“Semasa pandemik COVID-19, kerajaan ketika itu kembali kepada had sedia ada, iaitu 22 kali dan perkara ini turut dimaklumkan kepada Parlimen menerusi jawapan rasmi.
“Yang penting, di bawah Kerajaan MADANI hari ini, jumlah cabutan khas telah dikurangkan kepada hanya lapan kali setahun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang meletakkan tanggungjawab terhadap keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas itu ke atas dirinya secara peribadi.
Menurut Tengku Zafrul, fakta berkaitan isu berkenaan adalah jelas dan beliau tidak berhasrat memanjangkan polemik yang boleh mengalihkan perhatian kerajaan daripada agenda pembangunan negara.
“Fokus Kerajaan MADANI adalah menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Isu cabutan khas nombor ramalan kembali dibangkitkan susulan dakwaan dan pertikaian mengenai alasan jumlah cabutan itu ditingkatkan ketika pandemik COVID-19.
Selepas mengambil alih pentadbiran pada Disember 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jumlah cabutan khas dikurangkan daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai 2023. – BERNAMA



