BUKIT KAYU HITAM, — Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan terus dipertingkat susulan perkembangan dan insiden yang berlaku di Selatan Thailand, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara, selain menghalang sebarang ancaman daripada merebak ke kawasan sempadan Malaysia.
“Bukan sahaja terhadap kegiatan biasa seperti jenayah dan penyeludupan, tetapi juga mengambil kira insiden dan apa yang sedang berlaku di Selatan Thailand.
“Jadi, kita mahu memastikan negara terus berada dalam keadaan selamat dan dapat menghindari perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS) di Kem Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, 5 RS yang diwujudkan khusus untuk menjaga sempadan negara memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand, sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, kawalan sempadan dilaksanakan secara berterusan selama 24 jam sehari sepanjang tahun menerusi rondaan dan operasi bersama agensi keselamatan lain.
Mengulas kekuatan pasukan itu, beliau berkata, jumlah anggota di kem berkenaan ketika ini mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.
Katanya, operasi kawalan sempadan dari Perlis hingga Kelantan turut melibatkan anggota daripada beberapa kem Tentera Darat, termasuk di Gerik, Perak dan Kelantan, yang ditugaskan secara bergilir-gilir.
Pendekatan itu dapat memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tinggi, selain memberikan pengalaman serta meningkatkan kompetensi anggota daripada pelbagai formasi dalam melaksanakan operasi kawalan sempadan.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan menyediakan Nota Kabinet bagi menyegerakan peruntukan untuk pembangunan Kem Bukit Kayu Hitam.
Antara perkara yang akan dimasukkan dalam nota berkenaan ialah pembangunan kem secara menyeluruh dan pembinaan 205 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Untuk RKAT, kita telah merancang dan mengemukakannya kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Kita meminta kerajaan menyegerakan kelulusan supaya anggota yang sudah berumah tangga dapat tinggal dalam satu kawasan,” katanya.
Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut diberikan taklimat mengenai pembangunan kem serta operasi keselamatan sempadan dan peranan 5 RS dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau turut meninjau 10 blok penginapan baharu di kem berkenaan yang mula dibina pada 20 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 13 Februari lalu dengan kos keseluruhan RM44.87 juta.



