KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan kepada para perwakilan yang akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini ketika perbahasan jika menyuarakan tentang kedudukan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jika ada perwakilan akan membahaskan tentang perkara itu, UMNO menyerahkan sepenuhnya gelanggang PAU untuk berbincang, berbahas dan seterusnya mungkin ditentukan melibatkan hala tuju parti.
“Itu kita akan serahkan pada perwakilan, kalau kita lihat sejarah perhimpunan agung UMNO, keputusan kita untuk bersama dan sebagainya perlu ditentukan oleh perhimpunan agung UMNO.
“Kita bersama dalam membentuk kerajaan perpaduan ini pun mendapat keabsahan dari perhimpunan agung UMNO,” katanya.
Dr Asyraf Wajdi berkata demikian dalam sidang media sempena PAU 2026 di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.
Menurut beliau, walaupun pada masa itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 PAU tidak berjalan selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya kepimpinan parti bersama dalam Kerajaan Perpaduan, kita adakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengikut Perlembagaan UMNO.
“Perlembagaan UMNO menyebut ketiadaan PAU, peringkat paling tinggi yang boleh buat keputusan dasar parti dan hala tuju ialah Majlis Kerja Tertinggi.
“Kalau masih ingat lagi, pada malam 23 November 2022, pada malam tersebut setelah Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dititah menghadap ke istana, Presiden menyebut akan membawa agenda itu ke Majlis Kerja Tertinggi kerana Presiden tiada kuasa untuk membuat keputusan dasar dan hala tuju parti.
“Pokoknya, segala keputusan dasar itu ditentukan oleh MKT ataupun apabila adanya PAU, PAU lah yang akan menentukan mengikut Perlembagaan,” katanya.
Dr Asyraf berkata, PAU adalah platform terbaik untuk UMNO membuat keputusan berkenaan hala tuju parti sama ada untuk meneruskan dalam kerajaan perpaduan atau sebaliknya.



