BANGI — Pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) menjadi antara langkah penting dalam memastikan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid, berkata proses berkenaan kini sedang melalui beberapa peringkat termasuk pertimbangan kerajaan dan Kabinet sebelum pindaan akta dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, proses menggubal akta bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penglibatan pelbagai pihak.
“Proses untuk menggubal akta bukan mudah di negara ini. Ia perlu dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan akan membawanya ke Kabinet.
“Kabinet akan bersetuju. Kemudian, kita akan melalui proses di pejabat Suruhanjaya.
“Itulah prosesnya,” katanya dalam sidang media selepas Dialog Ummah:Realiti dan Masa Depan TH disini, hari ini.
Menurutnya, kira-kira 76 peratus daripada syor RCI berkaitan TH telah dilaksanakan, manakala baki syor masih memerlukan tindakan lanjut, khususnya yang membabitkan hubungan dengan pihak luar.
Beliau berkata, pihaknya kini hampir menyelesaikan keseluruhan proses berkenaan.
Dalam pada itu, TH sebelum ini menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda Akta TH 1995 selaras dengan syor RCI bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan melaksanakan pindaan terhadap Akta TH 1995 bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara.
Anwar berkata, pindaan itu merupakan antara langkah Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tatakelola serta memastikan sebarang kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.



