BANGI — Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad bahawa beliau tidak diberi peluang secukupnya untuk menjelaskan isu berkaitan TH kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah tidak berasas.
Malah, Abdul Rashid secara sinis meminta fakta berhubung tarikh penyerahan kenyataan bertulis Madinah kepada RCI tidak disifatkan sebagai satu ‘April fool joke’ selepas beliau mendakwa dokumen berkenaan telah dikemukakan pada 1 April 2022.
“Jadi saya harap fakta bahawa ia dilakukan pada 1 April 2022 tidak dianggap sebagai April fool joke,” katanya dalam sesi soal jawab pada program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod prosiding yang dimilikinya, Madinah sebenarnya telah diberikan ruang untuk menjelaskan perkara berkaitan, termasuk melalui jawapan bertulis terhadap 75 soalan yang dikemukakan RCI.
“Untuk rekod sekali lagi, mungkin Tan Sri Madinah lupa, kita juga memberikan peluang untuk mengemukakan jawapan bertulis kepada 75 soalan.
“Jawapan itu dikemukakan di bawah akuan berkanun dan terdapat dalam rekod RCI sebagai kenyataan saksi,” katanya.
Tambahnya, Madinah juga telah menerima sapina dan diarahkan hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022.
“Tan Sri Madinah sanggup bersumpah atas perkara ini berdasarkan pemeriksaan memori, nota dan hubungan dengan RCI. Untuk rekod, Tan Sri Madinah telah diberikan sapina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022,” katanya.
Beliau menjelaskan, Madinah turut diminta hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan, Mona Osman, bagi membantu RCI mendapatkan gambaran lebih terperinci berhubung isu yang sedang diteliti.
Katanya, keterangan daripada Timbalan Pengarah Audit Kewangan dan Pegawai Audit TH juga telah direkodkan RCI pada 2 Jun 2022, selain suruhanjaya itu memiliki laporan penuh berkaitan perkara berkenaan.



