KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjelaskan perbelanjaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) setakat ini masih dalam lingkungan peruntukan yang diluluskan, sekali gus menolak gambaran bahawa kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan.
Bagi 2026, projek JALB menerima peruntukan sebanyak RM2.107 bilion, manakala perbelanjaan sehingga 1 September lalu adalah sekitar RM1.995 bilion atau 94 peratus.
Dalam tempoh sama, sebanyak 415 projek JALB telah dilaksanakan di seluruh negara.
“Keadaan ini menunjukkan tahap pelaksanaan projek yang aktif di seluruh negara dan keperluan untuk memastikan projek yang sedang berjalan dapat diteruskan dengan teratur sehingga siap,” menurut KKDW dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa RM300 juta yang diluluskan Kementerian Kewangan bukan peruntukan tambahan baharu, sebaliknya sebahagian daripada peruntukan yang diperlukan untuk memenuhi komitmen dan keperluan semasa projek JALB.
Menurut KKDW, pelaksanaan JALB melibatkan projek pembangunan secara berperingkat dan sebahagiannya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.
Justeru, peruntukan tahunan perlu mengambil kira projek yang sedang berjalan serta projek baharu yang telah diluluskan.
Berdasarkan komitmen semasa, KKDW menganggarkan peruntukan sekitar RM4 bilion setahun diperlukan bagi memastikan projek JALB dapat diteruskan secara teratur dan mengikut jadual.
Dalam menguruskan keperluan tersebut, KKDW sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peruntukan yang tersedia dimanfaatkan sebaik mungkin.
Keutamaan diberikan kepada kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan supaya manfaat pembangunan dapat sampai kepada masyarakat seperti dirancang.
Menurut kementerian itu, pembangunan jalan luar bandar bukan sekadar pelaksanaan projek fizikal, sebaliknya memberikan kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
Kemudahan jalan yang baik memudahkan anak-anak ke sekolah, penduduk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik serta membantu petani membawa hasil ke pasaran.
Ia turut membolehkan peniaga menjalankan kegiatan ekonomi dan memberikan masyarakat akses lebih baik kepada pelbagai perkhidmatan asas.
KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi berkaitan bagi memastikan perancangan projek serta keperluan peruntukan dapat diselaraskan secara lebih berkesan dan mampan.
Pada masa sama, setiap peruntukan akan terus diuruskan secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi tatacara kewangan kerajaan.
“Keutamaan KKDW kekal kepada rakyat, iaitu memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan, kemudahan asas dipertingkatkan dan manfaatnya sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.


