KUALA LUMPUR – Parti PAS ada dua set hukum dalam membuat keputusan di dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu satu untuk parti itu sendiri dan satu set lagi hukum untuk pihak lain.
Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata jika PAS bertindak sendiri secara unilateral berunding dengan pihak lain di belakang parti anggota PN, membuat kenyataan atau bertindak bertentangan dengan keputusan Majlis Tertingg PN ia nampaknya dihukum sebagai “halal” dan dibolehkan.
“Tidak ada masalah untuk PAS kekal dalam PN walaupun selepas bertindak sendiri, bertentangan Perlembagaan PN dan melanggar keputusan-keputusan PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata secara teknikalnya BERSATU sudah tidak bersama PN, hari ini pula, kenyataannya dari segi politik, BERSATU masih dalam PN.
“Mungkin sebab itu pendirian PAS selalu tidak konsisten kerana pendirian PAS boleh disandarkan kepada hukum dan peruntukan Perlembagaan PN, tetapi boleh diubah dan berubah-ubah mengikut selera dan tafsiran mereka sendiri,” katanya.
Menurut beliau, penyelesaian perkara berkenaan amat mudah dengan merujuk Perlembagaan PN.
“Cakap sahajalah bahawa BERSATU kekal sebagai parti anggota PN disebabkan peruntukan dalam Perlembagaan PN.
“Itu lebih mudah dan jelas berbanding mentafsirkan kononnya “secara teknikal”, “secara politik”, “jika mengikut Perlembagaan Pas” dan pelbagai tafsiran semberono pemimpin-pemimpin Pas yang tidak disandarkan kepada Perlembagaan PN,” jelasnya.
Beliau memetik Takiyuddin lagi yang ada membangkitkan mengenai penggunaan logo sendiri oleh BERSATU.
Katanya, berdasarkan Fasal 16 Perlembagaan PN jelas disebut mana-mana parti anggota boleh menggunakan logo sendiri jika difikirkan perlu.
“Dalam PRN Negeri Sembilan, sudah tentu keperluan itu wujud lebih-lebih lagi dalam konteks Pas sebagai Pengerusi PN telah melanggar Perlembagaan PN dan menafikan hak BERSATU sebagai parti anggota apabila tidak melibatkan BERSATU dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN pusingan kedua dan Mesyuarat Luar Biasa MT PN,” kata Tun Faisal.
Menurutnya, lebih baik PAS melihat dahulu keseluruhan Perlembagaan PN sebelum mempertikaikan penggunaan logo sendiri oleh BERSATU juga termasuk situasi apabila berlaku pelanggaran Perlembagaan PN dan penafian hak mana-mana parti angota dalam PN dan PAS.
“Media turut melaporkan bahawa di dalam kenyataannya, Takiyuddin ada menyebut, “malah, BERSATU juga bukan parti pengasas dan tiada sebab mereka tidak boleh dikeluarkan dalam PN.”
“Ada tak mana-mana Exco Kerajaan Negeri daripada BERSATU yang mahu menjelaskan kepada Takiyuddin mengenai sejarah penubuhan PN – siapa yang terlibat merangka Perlembagaan dan lambang PN, siapa yang menguruskan pendaftaran penubuhannya, serta siapa yang menanggung pelbagai perbelanjaan sejak penubuhan PN sehingga PRU15 dan PRN 2023?,” katanya.
Tun Faisal mengingatkan jangan sampai sejarah PN boleh diubah-ubah seperti pendirian PAS dalam PN yang boleh berubah mengikut tafsiran mereka sendiri.



