Kami Sempoi Golden Award 2025: Empat tahun menyinar, komuniti Live Host terus melangkah jauh

Di sebalik kemeriahan dunia media sosial yang setiap hari dipenuhi kandungan baharu, siaran langsung dan pencipta kandungan yang berlumba-lumba menarik perhatian penonton, ada satu sisi yang jarang dilihat oleh orang luar, iaitu perjalanan panjang mereka yang menghabiskan masa, tenaga dan kreativiti untuk membina komuniti di sebalik skrin telefon.

Bagi mereka yang berada dalam dunia Live Host, setiap sesi LIVE bukan sekadar membuka kamera dan bercakap dengan penonton, sebaliknya ia adalah satu usaha untuk membina hubungan, mempertahankan kepercayaan dan pada masa sama mencari ruang untuk terus berkembang dalam industri digital yang sentiasa berubah.

Perkara itu dapat dirasakan menerusi penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025, sebuah acara yang kembali buat tahun keempat berturut-turut bagi menghargai pencapaian para Live Host, pencipta kandungan digital serta individu yang menjadi sebahagian daripada komuniti KamiSempoi International Agency (KSIA).

Berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Confetti KL Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan, malam tersebut hadir dengan tema “Echoes of Gatsby” yang memberikan suasana cukup berbeza apabila para tetamu dan penerima anugerah tampil dalam persalinan yang penuh gaya, glamor dan elegan.

Namun, jika dilihat lebih jauh daripada kemeriahan tema dan pentas yang dihiasi dengan suasana ala dunia Gatsby, KamiSempoi Golden Award 2025 sebenarnya membawa cerita yang jauh lebih besar tentang perkembangan industri live streaming yang semakin diterima sebagai sebahagian daripada ekonomi digital.

Apa yang dahulu mungkin dianggap sebagai aktiviti santai di media sosial kini sudah berubah menjadi satu bidang yang mampu membuka peluang pendapatan dan membina kerjaya, malah bagi sesetengah individu, dunia LIVE menjadi ruang untuk mereka membina keyakinan diri, mencipta nama dan mengubah kehidupan.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini dengan pengiktirafan diberikan kepada pelbagai pencapaian dalam ekosistem KSIA sepanjang tahun 2025. Antara kategori yang menjadi perhatian termasuk Top Creator of the Year, My Creator of the Year 2025, SG Creator of the Year 2025, Sub Agency of the Year 2025, Recruiter of the Year 2025 dan Talent Manager Award 2025, selain pelbagai lagi pengiktirafan yang mencerminkan peranan individu serta pasukan dalam memastikan komuniti ini terus berkembang.

Pencapaian para penerima anugerah turut mengambil kira prestasi pendapatan dan jumlah diamond yang direkodkan sepanjang Januari hingga Disember 2025, menjadikan pengiktirafan tersebut bukan sekadar berdasarkan populariti semata-mata tetapi turut menggambarkan tahap konsistensi dan komitmen mereka sepanjang setahun berada dalam dunia live streaming. Dengan keseluruhan nilai penganjuran dan hadiah yang dianggarkan mencecah RM600,000, malam tersebut jelas menunjukkan kesungguhan KSIA dalam menghargai usaha komuniti yang dibangunkan dari tahun ke tahun.

Antara nama yang paling menyerlah pada malam tersebut ialah Adelyn Heng, yang sekali lagi membuktikan konsistensinya apabila dinobatkan sebagai Top Creator of the Year dan My Creator of the Year 2025. Lebih menarik, kejayaan itu bukan sesuatu yang berlaku untuk kali pertama kerana Adelyn berjaya mengekalkan pencapaian tersebut selama empat tahun berturut-turut, satu rekod yang bukan mudah untuk dicapai dalam dunia media sosial yang sentiasa berubah mengikut trend, algoritma dan selera penonton.

Bagi seorang Live Host, mengekalkan prestasi selama satu tahun mungkin sudah cukup mencabar, apatah lagi apabila seseorang perlu terus menghasilkan kandungan, berinteraksi dengan penonton dan memastikan mereka mempunyai sebab untuk kembali menonton. Dalam keadaan persaingan yang semakin ramai, kejayaan Adelyn selama empat tahun berturut-turut memberikan gambaran bahawa konsistensi masih menjadi antara perkara paling penting dalam membina kerjaya di dunia digital.

Adelyn sendiri menganggap kemenangan tersebut sebagai satu penghargaan yang cukup bermakna dan pada masa sama menjadi dorongan untuk beliau terus memperbaiki diri dalam bidang yang diceburinya.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerima pengiktirafan ini. Kemenangan empat tahun berturut-turut ini sangat bermakna buat saya dan pastinya menjadi pembakar semangat untuk saya terus belajar, berkembang dan menjadi Live Host TikTok yang lebih baik,” katanya.

Menariknya, bagi Adelyn, kejayaan tidak seharusnya berhenti pada pencapaian diri sendiri kerana beliau turut mahu melihat lebih ramai rakan Live Host berkembang dan mencapai kejayaan masing-masing. Dalam dunia yang sering dikaitkan dengan persaingan mendapatkan penonton dan perhatian, beliau percaya persaingan yang sihat masih boleh berjalan bersama budaya saling membantu, berkongsi ilmu dan menyokong antara satu sama lain.

Pandangan itu sebenarnya selari dengan semangat yang cuba dibawa oleh KSIA menerusi komuniti yang dibangunkan selama ini kerana bagi Pakcik Chin Swee selaku CEO KamiSempoi International Agency dan juga seorang Live Host TikTok, kejayaan sesebuah agensi bukan hanya boleh diukur melalui jumlah nama besar yang berjaya dilahirkan, sebaliknya lebih bermakna apabila semakin ramai individu dalam komuniti tersebut mendapat peluang untuk berkembang.

“Saya bukan mahu hanya ada seorang Adelyn Heng, seorang IsseyMiyakeSg atau seorang love.lilysa. Saya mahu ramai seperti mereka yang boleh berjaya dan berkembang bersama dalam bidang Live Host TikTok. Kalau semakin ramai anak-anak KamiSempoi berjaya, bagi saya itulah kepuasan yang sebenar,” katanya.

Kata-kata itu menjadi semakin relevan apabila melihat kepada skala komuniti KSIA yang kini melibatkan kira-kira 4,500 Live Host TikTok. Menguruskan komuniti sebesar itu bukan sesuatu yang mudah kerana setiap individu mempunyai karakter, latar belakang, impian dan cabaran yang berbeza, malah ada yang baru bermula dan masih mencari rentak, sementara sebahagian yang lain sudah mempunyai pengalaman serta komuniti penonton sendiri.

Pakcik Chin Swee mengakui bahawa memimpin ribuan manusia untuk bergerak dalam arah yang sama bukanlah satu tugas yang mudah, namun kepercayaan yang diberikan oleh mereka yang terus memilih untuk bersama KSIA menjadi antara perkara yang membuatkan beliau terus bertahan dan membina komuniti tersebut.

“Bagi saya, benda ini melibatkan manusia. Bukan senang untuk kita pimpin semua orang berjalan bersama-sama. Tetapi saya sangat bersyukur kepada mereka yang masih rapat dengan saya, masih percaya kepada KSIA dan masih memilih untuk bergerak bersama-sama,” katanya.

Di tengah-tengah cerita tentang kejayaan komuniti tersebut, KamiSempoi Golden Award 2025 turut memperlihatkan bagaimana perkembangan KSIA semakin melangkaui sempadan Malaysia apabila nama IsseyMiyakeSg muncul sebagai antara Live Host TikTok dari Singapura yang mencuri perhatian pada malam tersebut. Pengiktirafan SG Creator of the Year 2025 yang diberikan kepada IsseyMiyakeSg menjadi satu lagi gambaran bahawa dunia live streaming kini mempunyai ruang yang lebih luas untuk berkembang di peringkat serantau.

Kehadiran Live Host dari pasaran berbeza juga menunjukkan bahawa media sosial telah mengubah cara seseorang membina komuniti dan kerjaya. Seorang pencipta kandungan tidak lagi semestinya bergantung kepada penonton dari kawasan atau negara sendiri kerana kandungan yang dihasilkan boleh sampai kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sambungan internet, sekali gus membuka peluang yang jauh lebih besar berbanding bentuk media tradisional.

Namun, malam yang sepatutnya menjadi ruang untuk meraikan kejayaan anak-anak KamiSempoi akhirnya turut menjadi malam yang cukup istimewa buat Pakcik Chin Swee sendiri apabila beliau menerima satu kejutan yang langsung tidak dijangka.

Di penghujung acara, beliau menerima sebuah Harley-Davidson Road Glide CVO daripada M Route 19 selaku penaja utama, menjadikan detik tersebut antara kejutan paling mencuri perhatian sepanjang malam. Hadiah berkenaan bukan sekadar sebuah motosikal yang menjadi idaman ramai, tetapi hadir sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dan usaha beliau dalam membangunkan komuniti KamiSempoi.

Pakcik Chin Swee sendiri mengakui beliau tidak pernah menjangka akan menerima hadiah tersebut kerana sejak awal, tumpuannya adalah untuk meraikan anak-anak KamiSempoi yang selama ini bekerja keras membina kerjaya masing-masing.

“Saya rasa benda ini speechless. Saya tidak pernah menjangka apa yang saya buat selama ini akan mendapat balasan seperti ini. Saya tidak pernah melakukan semua ini demi mengharapkan sesuatu sebagai balasan. Bagi saya, ini adalah malam untuk anak-anak saya,” katanya.

Apa yang membuatkan detik tersebut lebih menarik ialah walaupun dirinya yang menerima kejutan, beliau masih melihat malam berkenaan sebagai milik komuniti yang dibinanya. Mungkin di situlah terletaknya nilai sebenar sebuah komuniti, apabila kejayaan seorang individu tidak dilihat sebagai sesuatu yang berdiri sendiri tetapi sebahagian daripada perjalanan ramai orang yang bergerak bersama.

Dalam pada KSIA terus meraikan pencapaian sedia ada, satu lagi perkembangan penting turut diumumkan pada malam tersebut menerusi pelancaran KamiSempoi Premier Academy, sebuah inisiatif yang dilihat sebagai langkah seterusnya dalam usaha menjadikan bidang live streaming lebih profesional.

Penubuhan akademi itu bukan sekadar mahu melahirkan lebih ramai individu yang mampu berada di hadapan kamera, tetapi mahu membentuk Live Host yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan keyakinan untuk membina kerjaya dalam jangka masa panjang. Aspek komunikasi, pengendalian LIVE, pembangunan kandungan, personal branding, penampilan dan grooming, persembahan, interaksi dengan penonton serta kualiti produksi antara perkara yang akan diberikan perhatian.

Langkah tersebut hadir pada waktu yang cukup sesuai kerana semakin ramai individu melihat dunia digital sebagai ruang untuk mencari pendapatan dan membina kerjaya. Namun, seperti mana-mana bidang profesional yang lain, bakat sahaja tidak semestinya mencukupi kerana seseorang perlu mempunyai ilmu, disiplin dan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku begitu pantas.

Live streaming mungkin bermula dengan hanya sebuah telefon dan sambungan internet, tetapi untuk bertahan dalam industri ini, seseorang perlu memahami lebih daripada sekadar cara menekan butang LIVE. Mereka perlu tahu bagaimana membina personaliti, memahami penonton, menghasilkan kandungan yang menarik, menjaga komunikasi dan pada masa sama mengekalkan konsistensi.

Di sinilah KamiSempoi Premier Academy dilihat mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk generasi baharu Live Host yang lebih bersedia menghadapi tuntutan industri.

Jika dilihat secara keseluruhan, KamiSempoi Golden Award 2025 sebenarnya bukan hanya tentang siapa yang membawa pulang trofi paling banyak atau siapa yang menjadi perhatian paling ramai pada malam tersebut. Ia adalah gambaran tentang perjalanan sebuah komuniti yang telah berkembang bersama-sama dan bagaimana dunia live streaming perlahan-lahan berubah daripada sesuatu yang dilihat sebagai hiburan semata-mata kepada satu ruang ekonomi yang mampu membuka peluang kepada ramai individu.

Daripada Adelyn Heng yang mengekalkan prestasi selama empat tahun berturut-turut, IsseyMiyakeSg yang mewakili perkembangan komuniti Singapura, sehinggalah kepada ribuan Live Host yang terus berusaha membina nama masing-masing, setiap kisah membawa makna tersendiri.

Dan mungkin itu sebabnya tema “Echoes of Gatsby” terasa begitu sesuai untuk malam tersebut. Gemerlapan pakaian, suasana mewah dan pentas yang penuh cahaya mungkin hanya berlangsung untuk beberapa jam, tetapi cerita yang dibawa pulang oleh setiap individu akan terus menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka.

Bagi KSIA pula, malam itu mungkin sudah berakhir apabila lampu ballroom dipadamkan dan para tetamu mula meninggalkan dewan, tetapi perjalanan komuniti mereka masih jauh daripada selesai.

Dengan KamiSempoi Premier Academy yang kini diperkenalkan, jumlah Live Host yang terus berkembang serta cita-cita untuk melihat lebih ramai nama berjaya seperti Adelyn, Issey dan love.lilysa, jelas bahawa sasaran seterusnya bukan sekadar menghasilkan beberapa individu yang berjaya, tetapi membina sebuah ekosistem yang mampu memberikan ruang kepada lebih ramai anak-anak KamiSempoi untuk mencipta masa depan mereka sendiri.

Kerana dalam dunia digital, tiada siapa yang benar-benar tahu sejauh mana sebuah skrin kecil mampu membawa seseorang pergi. Ada yang bermula dengan hanya beberapa orang penonton, kemudian membina komuniti sendiri dan akhirnya berdiri di atas pentas menerima pengiktirafan.

Dan mungkin itulah cerita sebenar di sebalik KamiSempoi Golden Award 2025, bukan sekadar tentang malam yang penuh gemerlapan, tetapi tentang manusia yang memilih untuk terus mencuba, terus belajar dan terus berjalan bersama sehingga akhirnya usaha mereka mempunyai tempat untuk diraikan.

 

SENARAI PEMENANG KAMISEMPOI GOLDEN AWARD 2025

TOP CREATOR OF THE YEAR: adelynheng9318
MY CREATOR OF THE YEAR 2025: adelynheng9318
SG CREATOR OF THE YEAR 2025: isseymiyakesg
SUB AGENCY OF THE YEAR 2025: BossKlan
RECRUITER OF THE YEAR 2025: V 1 Asia Agency
TALENT MANAGER AWARD 2025: Master MTZ
PK GEMPAQ GONGXIRAYA 2025 (FEBRUARY 2025 – JUARA) : catherinemidin383, kellytan_official, yaya.bakar dan isseymiyakesg
PK GEMPAQ KAMISEMPOILIMPIK 2025 (MAY 2025 – JUARA): syediskandar_syedchess, _oh.miaaa & coachsharine
PK GEMPAQ MERDEKA 2025 (AUGUST 2025 – JUARA): bossfadh8283, mizz_a09, alyssaofficial8888 & isseymiyakesg
PK GEMPAQ MERDEKA 2025; GIFTER (AUGUST 2025 – JUARA): g0df4th3r_43, rostam207 dan daiyan_aqeela
PK MEGA LIVE FEST 2025 (NOVEMBER 2025 – JUARA): jackandak, sofialok0, mommy_yana_97 & isseymiyakesg
PK MEGA LIVE FEST 2025 (NOVEMBER 2025 – Naib Juara): chanel_baby88, alyssaofficial8888 & adelynheng9318
PK MEGA LIVE FEST 2025 (NOVEMBER 2025 – Tempat Ketiga): _oh.miaaa
PK MEGA LIVE FEST 2025 (NOVEMBER 2025 – Tempat Keempat): love.lilysa & kellytan_official
CHAMPION OF CHAMPIONS; KAMISEMPOI BATTLE 2025 (DECEMBER 2025 – JUARA): ad_chot, christinayii2297, ginazuel78 & isseymiyakesg
KAMISEMPOI GAMERS SHOWDOWN 2025 – JUARA: kemey_
KSIA Community Fest 2026 – Top 1: catto_resort & love.lilysa
KSIA Community Fest 2026 – Top 2: isseymiyakesg
KSIA Community Fest 2026 – Top 3: adelynheng9318
1M Host 2025: jessicaminkoff, mommy_yana_97, amouy__, kona.hot, kemey_, sc_ika, quinn_jemari, 01aqish, modbot.official, kellytan_official, shun.shawn, daredarebro, razif_zin77, fiziarshad_, mekganu12345, syafiqtorres95, acai8005, love.lilysa, madamyaya.mk, coachsharine, anissuderis, catto_resort & alyssaofficial8888
4M Host 2025: isseymiyakesg
10M Host 2025: adelynheng9318Best Creator Content 2026

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat