DOF lancar eSPeKS & AquaTrack, digitalkan urusan akuakultur

Oleh Zihan Zari

SERDANG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melancarkan eSPeKS (Elektronik Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan Akuakultur) dan AquaTrack, dua aplikasi digital yang menyediakan kemudahan kepada penternak akuakultur dalam urusan permohonan bantuan serta pengurusan operasi dan rekod perusahaan.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain, di Pentas Utama Laman Agrofood Fisheries sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, dekat sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur DOF, Khazlita Adzim Abdol Aziz@Ismail; dan Timbalan Pengarah Kanan/Ketua Cawangan Pengurusan Akuakultur DOF, Anuar Salam Sulaiman.

Menurut Adnan, pengenalan kedua-dua aplikasi ini memberi kemudahan kepada penternak dalam mendapatkan perkhidmatan jabatan serta mengurus maklumat dan rekod perusahaan secara digital.

Katanya, eSPeKS dan AquaTrack melengkapkan keperluan penternak daripada dua sudut yang saling berkaitan. eSPeKS memudahkan urusan permohonan bantuan, manakala AquaTrack membantu penternak merekod dan mengurus operasi ladang secara digital.

“Dengan maklumat permohonan dan rekod operasi yang diurus secara digital, penternak mempunyai akses yang lebih mudah kepada maklumat berkaitan perusahaan, manakala jabatan dapat melaksanakan pemantauan berdasarkan rekod yang dikemukakan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, eSPeKS merupakan sistem yang mendigitalkan proses permohonan, penilaian dan kelulusan bantuan akuakultur secara dalam talian. Pemohon boleh melengkapkan maklumat permohonan, memuat naik dokumen sokongan serta menyemak status permohonan secara masa nyata.

Permohonan yang dikemukakan diproses melalui aliran kerja penilaian sehingga lapan peringkat, melibatkan pegawai DOF di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat sebelum pengesahan kelulusan. Pemohon turut menerima notifikasi berkaitan perkembangan permohonan melalui e-mel.

Sistem ini membolehkan keseluruhan proses permohonan direkodkan dalam satu pangkalan data berpusat, sekali gus memudahkan pemantauan permohonan dan urusan pemohon dengan jabatan .

Sementara itu, AquaTrack merupakan platform digital pengurusan ladang akuakultur yang berfungsi sebagai buku log digital bagi membantu penternak merekod aktiviti operasi dan memantau prestasi ternakan.

Antara maklumat yang boleh direkodkan melaluinya termasuk kemasukan benih, penggunaan makanan dan hasil tuaian, dipaparkan dalam papan pemuka bagi membantu penternak melihat perkembangan operasi ternakan serta membuat analisis berdasarkan rekod yang dimasukkan.

AquaTrack turut menyediakan fungsi pengiraan Kadar Penukaran Makanan (Feed Conversion Ratio – FCR) secara automatik, anggaran kos pengeluaran dan titik pulang modal bagi membantu penternak membuat perancangan berkaitan operasi ternakan serta ditawarkan secara percuma kepada penternak akuakultur di seluruh Malaysia dan boleh digunakan melalui telefon pintar, tablet atau komputer.

Selain itu, platform ini menyediakan maklumat berkaitan penyakit ikan dan udang, panduan ternakan serta bahan rujukan akuakultur. Penternak juga boleh menjana laporan berdasarkan rekod yang dimasukkan bagi tujuan pengurusan dan pemantauan perusahaan.

Kedua-dua aplikasi ini menyediakan kemudahan digital kepada komuniti penternak akuakultur bagi urusan permohonan bantuan serta pengurusan operasi dan rekod perusahaan serta digalakkan memanfaatkan kedua-dua platform tersebut bagi memudahkan urusan dengan jabatan dan pengurusan perusahaan masing-masing. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat