KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik beberapa langkah diumumkan Perdana Menteri bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Beliau berkata, langkah mengembalikan had kelayakan subsidi petrol RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan dijangka dapat membantu mengurangkan tekanan kos yang ditanggung rakyat.
Menurutnya, keputusan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun juga memberi kelegaan kepada peniaga yang sedang berdepan peningkatan kos.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai langkah-langkah untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin turut menyambut baik peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan serta penyediaan akses langganan perisian kecerdasan buatan (AI) kepada golongan belia.
Selain itu, beliau berkata penambahan kemudahan mikrokredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil serta geran RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah mampu merancakkan aktiviti ekonomi.
Katanya, langkah berkenaan diharapkan dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital, selain membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan kementerian serta agensi kerajaan berkaitan perlu memastikan peruntukan dan bantuan yang diumumkan disalurkan segera kepada golongan yang layak.
“Susulan daripada pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin berharap langkah berkenaan akan disusuli pendekatan lebih komprehensif menerusi Belanjawan 2027 bagi menangani kos sara hidup, membantu sektor perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengkaji semula dasar berkaitan percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberi kesan langsung terhadap beban ditanggung rakyat ketika ini.



