MELAKA – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, termasuk pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru-baru ini mencapai persefahaman politik di peringkat Persekutuan.
Empat calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon selesai di Kompleks Japerun Klebang, pagi tadi.
Proses undian nombor calon berlangsung kira-kira jam 10 pagi sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ainu Nizla Kasman, pada jam 10.30 pagi.
Hasil undian menyaksikan calon PH, Farzana Hayani Mohd Nasir memperoleh nombor satu, diikuti calon calon Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memperoleh nombor dua.
Calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Young Jie Yu pula mendapat nombor tiga, manakala Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong dengan nombor empat.
Pertembungan PH dan Bersatu menarik perhatian berikutan kedua-dua parti baru-baru ini mencapai persefahaman politik di peringkat Persekutuan melalui memorandum persefahaman (MoU) berkaitan sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan reformasi institusi.
Bagaimanapun, persefahaman tersebut tidak melibatkan kerjasama pilihan raya, sekali gus menyaksikan kedua-dua parti kekal sebagai pesaing dalam PRN Melaka.
Bersatu yang tidak lagi bersama PN dalam pilihan raya negeri kali ini memilih untuk bertanding menggunakan lambang sendiri.
Pertandingan empat penjuru itu memperlihatkan landskap politik yang semakin kompleks apabila persefahaman antara parti di peringkat Persekutuan tidak semestinya diterjemahkan kepada kerjasama dalam pilihan raya negeri.
– SuaraTV



