KUALA LUMPUR, – Rundingan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dipercayai tidak akan dimuktamadkan susulan tindakan undang-undang terhadap beberapa pemimpin UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata perkembangan terbaharu itu memberi isyarat bahawa kerjasama dengan PH yang sebelum ini dikatakan sudah sampai ke peringkat pembahagian kerusi mungkin tidak akan diteruskan.
“Dua pihak, Pakatan Harapan dan PAS, memberi gambaran bahawa rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka sudah berada di tahap pembahagian kerusi.
“Namun penahanan reman dan pendakwaan beberapa pemimpin UMNO hari ini menandakan rundingan kerjasama tidak akan dimuktamadkan dengan Pakatan Harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan Hasnal dibuat ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta lima jongkong emas.
Ismail Sabri, 66, yang juga Ahli Parlimen Bera mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Dalam perkembangan berasingan, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pula ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Kedua-duanya ditahan selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH dan dijadual dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman.
Mengulas perkembangan itu, Hasnal berkata UMNO kini hanya mempunyai satu pilihan sekiranya terus diasak.
“UMNO yang diasak rapat ke dinding hanya punya satu pilihan, BANGKIT BERJUANG!
“Kita BIRUKAN Bumi Melaka!” katanya.
Beliau turut mengakhiri kenyataannya dengan ungkapan, “Dari tegap bertimpuh, baik rebah merempuh” dan menegaskan tiada istilah menyerah atau mengalah.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada kepimpinan tertinggi UMNO atau BN bahawa rundingan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Melaka telah ditamatkan.


