KUALA LUMPUR – Selama 77 tahun, Pemuda Umno tidak sekadar menjadi penyambung usia parti, kata Datuk Dr Akmal Saleh.
Sebaliknya menurut Ketua Pemuda Umno ke-15 itu, sayap Pemuda Umno ialah penyambung nyawa sebuah perjuangan.
Tegas Akmal, perjalanan ini mungkin tidak pernah mudah tetapi kita juga tidak pernah dibentuk untuk menyerah.
“Perjuangan Pemuda tidak pernah dijanjikan mudah. Ada waktunya suara kita disalah ertikan. Langkah kita dipersoalkan. Kesetiaan kita diuji. Jalan yang dilalui pula sentiasa hadir dengan pelbagai rencam.
“Namun, daripada segala ujian itulah terbentuknya siapa kita hari ini.
“Pemuda tidak dibesarkan oleh kesenangan. Pemuda dibentuk oleh keberanian untuk terus berdiri ketika yang lain memilih berdiam, dan hidup atas kesetiaan untuk terus bertahan ketika perjuangan tidak lagi menjanjikan pujian.
“Saya sentiasa percaya, jika mahu melihat kekuatan sesebuah bangsa, lihatlah kepada anak mudanya. Jika teguh prinsip mereka, jika berani langkah mereka dan jika utuh kesetiaan mereka – maka bangsa itu masih punya masa hadapan,” kata Adun Merlimau itu.
Beliau mengingatkan, jangan kita hanya mewarisi nama perjuangan ini.
“Warisilah juga keberanian untuk memikul dan mempertahankannya.
“Selamat Ulang Tahun ke-77, buat sahabat-sahabat Pemuda Umno Malaysia,” ucap Akmal.


