Oleh Zihan Zari
JITRA – Seramai 51 pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di sini melakar sejarah peribadi apabila secara rasmi memulakan langkah dalam dunia ketenteraan sebagai Pelatih Perajurit Muda Pasukan Latihan Anggota Sukarela (PLAS) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi Siri 1 Tahun 2026/2027.
Kesemua penuntut berkenaan sah bergelar pelatih selepas berjaya melepasi sesi temuduga pemilihan akhir yang ketat sebelum melafazkan ikrar setia pada Majlis Angkat Sumpah Perajurit Muda PLAS TUDM yang berlangsung di Dewan Kuliah 4, POLIMAS, dekat sini, baru-baru ini.
Majlis penuh rejimen itu telah disempurnakan oleh Pegawai Staf 1 Latihan Alpha Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara, Leftenan Kolonel Mohd Baharyzal Bahrudin TUDM.
Medan Bentuk Sahsiah dan Disiplin
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Mohd Baharyzal berkata, upacara angkat sumpah berkenaan merupakan titik permulaan buat para pelatih sebelum mereka diwajibkan menjalani latihan ketenteraan intensif yang dijadualkan bermula Oktober ini.
“Keputusan saudara dan saudari menyertai PLAS TUDM adalah satu pilihan yang sangat tepat. Selepas menamatkan latihan dan memenuhi syarat, anda berpeluang menyertai Pasukan Simpanan TUDM.
“Jadikan medan ini untuk membentuk sahsiah diri yang berdisiplin, berintegriti, berdaya tahan, serta mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi.
“Pada masa yang sama, imbangi kecemerlangan akademik kerana kejayaan sebenar adalah apabila anda mampu menguruskan masa dengan bijak,”katanya ketika menyampaikan teks ucapan Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kolonel Ahmad Rashidi Ithnin TUDM.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Saiful Nizam Sa’ari; dan Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan POLIMAS, Mejar Md Nasir Md Safar.
Sementara itu, Dr. Mhd Azmin dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian para pelajar POLIMAS yang memilih untuk mencabar keupayaan diri di luar bilik kuliah demi menanam semangat patriotisme yang tinggi.
Beliau mengingatkan para pelatih bahawa tanggungjawab ini bukan sekadar aktiviti masa lapang, malah ia adalah satu amanah besar dalam memelihara kedaulatan negara.
Sedia Sahut Cabaran, Imbangi Akademik
Bagi salah seorang pelatih, Ahmad Azam Afifi Rosli, dia meluahkan rasa syukur dan bertekad untuk memberikan komitmen 100 peratus sepanjang latihan fizikal dan mental yang bakal ditempuhi.
“Ini adalah peluang keemasan untuk saya membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja cemerlang di dalam dewan kuliah, malah mampu memikul tanggungjawab berat mempertahankan kedaulatan negara.
Saya sedia mengorbankan masa terluang demi memantapkan disiplin diri,”katanya dengan penuh semangat.
Pelatih wanita, Aleya Kaisara Karim, menyifatkan peluang menyarung pakaian seragam TUDM sebagai satu penghormatan besar dan bersedia membuktikan keupayaan golongan wanita dalam menyahut cabaran latihan ketenteraan tersebut.
“Latihan ketenteraan ini pastinya unik dan berbeza daripada pasukan beruniform lain. Saya mahu buktikan bahawa kekangan fizikal bukan penghalang untuk wanita berjiwa kental seperti saya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelatih lelaki,”ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Program PLAS TUDM ini merupakan hasil kerjasama erat antara POLIMAS dan Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara bagi melahirkan generasi muda yang seimbang dari aspek akademik, ketahanan mental, serta berjiwa patriotik.
Kemuncak majlis menyaksikan kesemua 51 pelatih melaungkan ikrar taat setia dengan penuh bersemangat, menandakan bermulanya fasa baharu kehidupan mereka sebagai benteng pertahanan kedua negara di ruang udara. – SUARA.TV



