PAPAR, – Kempen Internet Selamat di Sabah telah menyantuni lebih 148,300 individu dan diperluaskan ke lebih 1,300 institusi pendidikan di seluruh negeri sehingga Julai lalu.
Pencapaian itu merupakan sebahagian usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian serta penggunaan Internet secara bertanggungjawab.
Usaha berkenaan diteruskan menerusi Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Papar yang menghimpunkan lebih 1,500 penduduk setempat hari ini.
Karnival itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Menurut MCMC, pendekatan “Masuk Kampung” digunakan bagi memastikan mesej keselamatan dalam talian dapat disampaikan kepada masyarakat merentasi kawasan bandar, luar bandar dan komuniti akar umbi.
Kempen itu memberi penekanan kepada penglibatan ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan anak-anak dalam membentuk persekitaran digital yang positif, selain meningkatkan kesedaran mengenai risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi serta ancaman siber lain.
Bersempena Bulan Kebangsaan, masyarakat turut digalakkan menterjemahkan semangat patriotisme melalui penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, termasuk menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan mengamalkan etika komunikasi yang baik.
Masyarakat juga diseru bersama-sama membendung penyebaran kandungan palsu yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Jalur Gemilang bagi menyemarakkan inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang”, selain sesi perkongsian keselamatan Internet, pameran agensi kerajaan, aktiviti komuniti dan Jualan RAHMAH MADANI.
MCMC akan terus memperluaskan usaha pendidikan dan kesedaran keselamatan dalam talian bagi memastikan lebih ramai rakyat mempunyai pengetahuan serta kemahiran melindungi diri dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.
Turut hadir ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Kawang, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.


