KUALA LUMPUR – Pas mendahulukan perpaduan Melayu Islam yang menjadi tonggak kuasa yang mempunyai pengaruh terkuat.
Sehubungan dengan itu tegas Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, pemimpin hendaklah daripada kalangan Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dan mempunyai pengaruh yang kuat untuk menjamin keadilan kepada semua.
“Pas menetapkan aqidah Islamiah dalam Perlembagaannya. Bahkan, Islam ialah agama tertinggi dalam Perlembagaan negara, yang ditafsirkan berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang banyak serta sunnah amaliah (praktikal) Rasulullah SAW.
“Para pemimpin yang dicalonkan wajib berbaiah dan bersumpah dengan nama Allah untuk mematuhi kewajipan tersebut, sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Khamis.
Menurut Hadi, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) adalah mata rantai kesinambungan perjuangan untuk melaksanakan petunjuk Allah kepada manusia selepas tiada lagi para rasul, setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Ujarnya, Pas berpegang kepada mazhab Sunni bahawa pemimpin bagi negara Malaysia hendaklah daripada kalangan Melayu Islam.
“Pas menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berpegang kepada prinsip sekular, iaitu memisahkan politik daripada agama, dan gagasan Malaysian Malaysia tanpa rupa bangsa.
“Fahaman sekular berkonsepkan pemisahan politik daripada akidah atau iman, menjadikan politik tidak mempunyai roh dan hanya berpandukan akal manusia semata-mata tanpa berpaksikan akidah, khususnya keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Fahaman ini dilihat gagal dalam memimpin masyarakat majmuk serta menangani salah laku seperti rasuah dan lain-lain.
“Tanpa menetapkan rupa bangsa yang bersifat luar tabii, ketetapan Allah akan dilihat bercanggah dengan fitrah manusia.
“Hal ini demikian kerana mereka tidak bersikap fanatik terhadap perkauman seperti sesetengah bangsa lain dalam masyarakat majmuk, walaupun tidak mempunyai kuasa politik.
“Sikap ini dapat disaksikan dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Betapa kuatnya pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu dapat dilihat apabila seseorang yang memeluk Islam dianggap menjadi Melayu, manakala apabila seseorang itu murtad, dia tidak lagi dianggap sebagai Melayu,” kata Hadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan, konsep keadilan untuk seluruh manusia merupakan perintah Allah. Pemimpin yang mendapat sokongan kuat daripada kaumnya diwajibkan menegakkan keadilan apabila berkuasa.
“Allah menyatakan bahawa kewajipan berlaku adil turut merangkumi keadilan terhadap musuh ketika berperang. Maka, lebih utama ia dilaksanakan terhadap rakyat dalam sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
“Maka, tidak sepatutnya wujud pentadbiran dan kehakiman terpilih (pendakwaan terpilih) seperti yang disaksikan pada hari ini, sehingga berlaku diskriminasi dalam politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
“Muhasabah bukan sahaja berlaku di dunia terhadap rakyat yang boleh ditipu dan dipaksa, khususnya dalam setiap kali pilihan raya. Bahkan, perlu diimani bahawa muhasabah berlangsung juga selepas mati hingga Hari Akhirat.
“Kemudian, bersama-sama manusia daripada pelbagai bangsa yang merupakan satu keluarga besar, yang berasal daripada Adam dan Hawwa
“Manusia bermasyarakat majmuk madani yang berkonsepkan taqwa, mereka tidak mudah hanyut dengan fahaman liberal dan progresif sehingga tersungkur melampaui batas,” katanya.


