Ketua Pengarah AKPS buat laporan polis, dakwa ada usaha jejaskan operasi dan reputasi

PUTRAJAYA, – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, membuat laporan polis berhubung tohmahan serta penyebaran video tular yang didakwa mempunyai unsur berniat jahat untuk menjejaskan reputasi beliau dan agensi berkenaan.

AKPS dalam kenyataan hari ini turut mendakwa tindakan dua individu merakam tanpa kebenaran ketika operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 telah mencetuskan provokasi dan menjejaskan kewibawaan operasi tersebut.

Menurut agensi itu, laporan polis oleh Mohd Shuhaily bertujuan membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk mengenai bagaimana rakaman berkenaan diperoleh dan disebarkan.

“Penyebaran rakaman tersebut juga dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi beliau sebagai Ketua Pengarah AKPS serta agensi ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam penjelasan sama, AKPS mengesahkan video tular yang memaparkan Mohd Shuhaily itu merupakan rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA Terminal 1.

Kejadian berlaku pada 28 September lalu ketika beliau mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di lapangan terbang berkenaan.

Semasa tinjauan itu, Mohd Shuhaily bersama pasukan operasi turut menjalankan penguatkuasaan terhadap individu warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan “ulat” di kawasan KLIA.

Menurut AKPS, operasi tersebut dilaksanakan berdasarkan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang serta kontraban di lapangan terbang itu.

Agensi berkenaan memaklumkan operasi bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA itu merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilaksanakan AKPS bersama pasukan tersebut.

Susulan operasi berkenaan, seorang warga asing dikenal pasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, menurut AKPS, dua individu yang bukan anggota pasukan operasi telah memasuki ruangan bagasi tersebut tanpa disedari pegawai.

Kedua-dua individu itu didakwa merakam sesi temu bual antara Mohd Shuhaily dengan warga asing berkenaan tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.

“Tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang mana telah menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung di dalam operasi tersebut,” katanya.

AKPS turut menegaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual ketika itu hanya melibatkan pasukan operasinya bersama AVSEC KLIA, tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi penguatkuasaan lain.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua individu berkenaan membuat laporan polis sehari selepas kejadian, diikuti laporan kedua dua hari selepas kejadian.

Perkembangan tersebut kemudian disusuli penularan klip rakaman di media sosial.

AKPS menegaskan pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat