SEREMBAN – Keadaan Jalur Gemilang yang kelihatan koyak dan terjuntai di Kompleks PAS Negeri Sembilan mencetuskan perhatian netizen di media sosial, ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan.
Gambar berkenaan dikongsikan laman Facebook Negeri Sembilan Update (N.S.U) hari ini, memaparkan beberapa tiang bendera di hadapan bangunan yang tertera papan tanda “Kompleks PAS Negeri Sembilan”.

Apa yang menarik perhatian ialah keadaan Jalur Gemilang pada salah satu tiang yang kelihatan rosak dan sebahagian kainnya terjuntai.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan turut menyindir Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini lantang bersuara dalam beberapa kontroversi melibatkan Jalur Gemilang.
“Ini jam dah jadi Kerajaan Negeri pun takdo semangat kemerdekaan dan cintokan negaro.. aptb.. harap Akmal Melako tak perasan lah..,” menurut hantaran berkenaan dalam dialek Negeri Sembilan.
Sindiran terhadap Akmal itu kemudian menjadi antara perhatian netizen yang memberikan reaksi terhadap hantaran berkenaan.
Ia dipercayai merujuk kepada ketegasan Akmal sebelum ini dalam isu melibatkan pemasangan Jalur Gemilang yang tidak sempurna sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan punca Jalur Gemilang di Kompleks PAS Negeri Sembilan itu berada dalam keadaan koyak atau berapa lama ia telah berada dalam keadaan sedemikian.
Tidak dapat dipastikan juga sama ada pihak pengurusan kompleks berkenaan telah menggantikan bendera tersebut selepas gambar itu dirakam.
Insiden itu menarik perhatian kerana berlaku ketika kempen mengibarkan Jalur Gemilang sedang berlangsung sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.



