Hampir 5.9 juta hektar hutan Malaysia bersijil MTCS – Noraini

KUALA LUMPUR – Hampir 5.9 juta hektar hutan di negara ini atau lebih 32 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan Malaysia kini telah mendapat pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha negara memastikan pengurusan sumber hutan dilaksanakan secara mampan dan bertanggungjawab.

Menurutnya, pada peringkat rantaian bekalan pula, sebanyak 365 syarikat di seluruh negara kini memegang pensijilan Rantaian Jagaan MTCS/Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).

Pensijilan berkenaan membolehkan bahan bersijil dijejaki bermula daripada hutan yang diurus secara mampan sehingga menjadi produk siap.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Merdekapenter 2026 di The Green Factory, Kampung Baru Ampang, Selangor, hari ini.

Noraini berkata, dalam pasaran hari ini, pengguna dan pembeli semakin mengambil berat mengenai asal sesuatu bahan selain mahukan kepastian bahawa produk yang dibeli dihasilkan secara bertanggungjawab, boleh dijejaki serta memenuhi keperluan kelestarian.

Justeru katanya, pensijilan memainkan peranan penting dengan MTCS menyediakan penilaian bebas terhadap pengurusan hutan serta rantaian bekalan produk kayu.

MTCS mendapat pengiktirafan PEFC pada 2009 dan merupakan skim pensijilan kayu tropika pertama di rantau Asia Pasifik yang menerima pengiktirafan berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata industri perkayuan kekal sebagai antara sektor penting dalam ekosistem agrikomoditi negara dengan produk kayu Malaysia telah menembusi pasaran utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China, Eropah, Timur Tengah, Australia dan negara Asia lain.

Bagaimanapun, katanya, masa depan industri itu tidak boleh bergantung kepada jumlah pengeluaran semata-mata.

Sebaliknya, Malaysia perlu bergerak ke arah penghasilan produk bernilai tinggi, reka bentuk berkualiti, penggunaan teknologi serta pembangunan jenama tempatan yang mempunyai identiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Nilai kayu tidak hanya terletak pada bahan mentahnya. Nilainya bertambah melalui kemahiran tangan, idea, reka bentuk dan cerita yang dibawa bersama produk tersebut,” katanya.

Noraini berkata kerajaan akan terus memperkukuh industri perkayuan melalui agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan produktiviti, membangunkan modal insan, memperluas pasaran dan memperkukuh amalan kelestarian dalam industri.

Beliau turut meminta MTIB, MTC dan MTCC meneliti ruang kerjasama yang bersesuaian bagi membantu The Green Factory meningkatkan keupayaan, memperluas pasaran serta membawa jenama Malaysia lebih jauh.

Program Merdekapenter yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022 antara lain bertujuan mendekatkan masyarakat dengan dunia pertukangan kayu dan memberi kefahaman mengenai amalan kelestarian.

Antara aktiviti tahun ini ialah bengkel pertukangan menggunakan kayu meranti bersijil PEFC serta kayu kitar semula, selain sudut informasi dan permainan interaktif berkaitan konsep pengurusan hutan secara mampan.

Noraini berkata pendedahan sedemikian penting khususnya kepada generasi muda bagi menunjukkan bahawa sektor perkayuan bukan sekadar pekerjaan tradisional, sebaliknya sebuah industri yang berkembang dengan teknologi, kreativiti dan kemahiran baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat