Rayer kutuk Kerajaan PN Perlis roboh kuil di Bukit Lagi, anggap tindakan angkuh dan rasis

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar , Perlis.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan adalah amat menyedihkan.

Tegas beliau, Perlembagaan Persekutuan negara kita menjamin dan melindungi hak rakyat negara kita menganuti agama lain selain daripada agama Islam yang merupakan agama resmi negara kita dan ini adalah sesuatu yang perlu dihormati oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri Perlis.

“Rakyat perlu sedar bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan dibawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan Persekutuan.

“Rakyat Malaysia juga perlu sedar bahawa PN tidak boleh menjadi kerajaan di peringkat nasional dan mentadbir negara ini kerana PN tidak sensitif dan tidak bertimbang rasa terhadap masyarakat majmuk, kaum dan agama lain seperti agama Hindu dan ini boleh kita lihat dari tindakan kerajaan PN Perlis hari ini yang merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.

“Barisan Nasional (BN), dan parti – parti komponennya seperti Umno, MCA dan MIC yang berkerjasama dengan PN di pilihan raya Negeri Sembilan perlu sedar bahawa PN sebenarnya merupakan ancaman kepada kemajmukan, kepelbagaian serta ketenteraaman dan keamanan negara kita yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Saya sekali lagi mengkutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan PN Perlis yang bersifat rasis dan angkuh ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Menurut Rayer lagi, jikapun terdapat apa -apa ketidakpatuhan yang dilakukan oleh pihak kuil ini sebagai sebuah kerajaan negeri satu cara atau pendekatan yang lebih berhemah patut diambil untuk menyelesaikan masalah Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.

Ujarnya, tindakan merobohkan kuil tersebut bukanlah satu penyelesaian dan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati , marah dan kegusaraan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Hindu.

“Adakah Pas dan PN boleh dipercayai untuk melindungi hak rakyat minoriti di negara ini seperti yang beragama Hindu dan lain- lain? soalnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat