KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan satu kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi melalui pendekatan One Higher Education Act (OHEA).
Mesyuarat Jemaah Menteri membuat keputusan itu dalam mesyuarat pada 19 Ogos lepas susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Ia selaras dengan inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
KPT dalam satu kenyataan berkata keputusan melibatkan kerangka baharu adalah satu langkah penting dalam pembaharuan pendidikan negara.
“Tumpuan kerajaan bukan sekadar menggantikan AUKU, tetapi untuk membangunkan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini dan masa hadapan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan proses ini secara terbuka, tersusun dan inklusif melalui empat langkah utama,” katanya.
Antara langkah berkenaan ialah menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk menjalankan kajian dan mengemukakan syor, melaksanakan libat urus menyeluruh bersama semua pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi, memuktamadkan kerangka dasar dan perundangan sebagai asas kepada Rang Undang-Undang baharu, katanya.
“Langkah lain ialah menyediakan mekanisme peralihan bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan operasi institusi,” jelasnya.
KPT memberi jaminan proses berkenaan akan dilaksanakan secara telitik bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak mewujudkan kelompangan perundangan atau menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian institusi pendidikan tinggi.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berpandangan jauh, yang dapat memperkukuh institusi.
“Ini melindungi kepentingan seluruh warga pendidikan tinggi serta menyediakan ruang yang lebih luas untuk autonomi, inovasi dan perkembangan pendidikan tinggi negara,” katanya.



