KUALA LUMPUR – Sejumlah 30 meriam milik Kesultanan Kedah yang dipercayai dirampas ketika era Perang Musuh Bisik ditemukan berada di Wilayah Trang di selatan Thailand, sejak lebih 200 tahun lalu.
Naib Pengerusi Persatuan Pembudayaan Sejarah Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Mohd Herman Roslan berkata, meriam kebanyakannya bersaiz 12 paun itu disimpan di sekitar wat dan pejabat kerajaan di wilayah negara jiran itu, lapor BH di Alor Setar pada Selasa.
Katanya, meriam yang asalnya ditempatkan di Kota Kuala Kedah itu diyakini dirampas tentera Ligor atau kini dikenali Nakhom si Tammarat dari Kota Kuala Kedah ketika berlakunya peperangan antara 1821 hingga 1842 sebelum dibawa ke selatan Thailand.
“Semua 30 meriam milik Kedah ini tidak pernah dikesan, kerana dalam pengetahuan kita, kebanyakan meriam rampasan Perang Musuh Bisik dibawa ke Ligor.
“Berdasarkan catatan, dianggarkan 123 meriam yang mengawal pertahanan Kota Kuala Kedah ketika berlaku serangan Siam dan hanya tinggal dua daripadanya masih kekal di kota berkenaan hingga kini
“Kebanyakan meriam ini berkemungkinan besar diperoleh pada era pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778) dan Sultan Abdullah (1778-1797) bagi kegunaan pertahanan negeri,” katanya menurut akhbar itu lagi.
Perang Musuh Bisik adalah konflik ketenteraan pada 12 November 1821 antara Kerajaan Rattanakosin (Siam) dan Kesultanan Kedah.
Nama “musuh bisik” merujuk taktik serangan mengejut pihak Siam yang menyelinap secara senyap dan perbuatan rakyat yang berbisik-bisik menyebarkan amaran tentang kedatangan musuh
Difahamkan, setakat ini hanya 22 meriam lama Kedah berjaya dikesan selepas senjata berat itu dipamerkan di Muzium Nakhon Si Tammarat dan dalam simpanan wat di wilayah itu.
Menurut Herman, pihaknya percaya antara 50 hingga 60 meriam lama milik Kesultanan Kedah masih berada di selatan Thailand dan belum ditemui ahli sejarah.
Katanya, kewujuduan senjata berat ini membuktikan Kesultanan Kedah memiliki kekuatan dan jumlah tentera yang besar serta berkemahiran bagi mengendalikan setiap meriam berkenaan.
“Kebanyakan meriam milik Kedah ini dibekalkan pihak Inggeris dan dibeli dari sekitar alam Melayu lain bagi kegunaan pertahanan Kota Kuala Kedah yang menjadi pusat pentadbiran serta perdagangan.
“Sekiranya dilihat pelan asal Kota Kuala Kedah yang dilakar pada 1835, kita akan mendapati kedudukan meriam diletak secara strategik keliling kota bagi berhadapan serangan dari laut dan darat.
“Ini sekali gus menunjukkan Kedah ketika itu sudah memiliki ilmu dan strategi peperangan serta mempunyai struktur ketenteraan yang lengkap bagi berhadapan musuh,” katanya.
Berikutan itu, beliau berharap kerajaan dapat tampil membantu pihaknya agar kajian lebih lanjut dan usaha menjejak baki meriam lama milik Kesultanan Kedah di selatan Thailand dapat dilakukan.
Untuk rekod, Kota Kuala Kedah tumbang kepada tentera Siam yang menggunakan muslihat masuk ke dalam kota bagi mendapatkan bantuan beras dan perubatan berikutan negara itu sedang berhadapan peperangan melawan Burma ketika itu.


