KOTA KINABALU – Seramai 22 orang bekas penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu menerima Kit Mekar Dinamik@Wanita Bangkit bersasar sebagai persediaan untuk membina sumber pendapatan dan memulakan kehidupan yang lebih berdikari selepas kembali dalam masyarakat.
Kit berkenaan diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Nancy Shukri.
Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kit diserahkan ketika Nancy dalam lawatan kerja meninjau pelaksanaan program berkenaan di Sabah.
YKN menjelaskan pelaksanaan program berkenaan merangkumi tiga fasa utama iaitu Fasa Transisi, Fasa Transformasi dan Fasa Integrasi.
Fasa pertama memberi tumpuan sokongan emosi dan pembangunan kendiri, fasa kedua melalui pembangunan kemahiran serta ketiga memberi fokus kepada penjanaan pendapatan.
“Setiap wanita berhak diberikan peluang untuk membina semula kehidupan. Melalui Mekar Dinamik, kita bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi menyediakan kemahiran, sokongan dan peralatan yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan apabila mereka kembali ke dalam masyarakat.
“Kita mahu mereka keluar dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai kemahiran dan peluang untuk berdikari. Sebab itu sokongan yang diberikan perlu membawa mereka daripada proses pemulihan kepada pemerkasaan dan akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri,” kata Nancy.
Dalam Fasa Integrasi, kenyataan itu menyebut peserta terpilih menerima Kit Mekar Dinamik berupa set peralatan perniagaan berdasarkan kemahiran masing-masing bagi membolehkan mereka memanfaatkan kemahiran yang telah dipelajari untuk memulakan aktiviti pendapatan.
“Bagi kumpulan terbaharu di Sabah, antara kit yang diserahkan ialah Set Bakeri, Set Jahitan, Set Sejuk Beku dan Set Refleksologi yang disesuaikan dengan kemahiran serta bidang yang diceburi peserta,” katanya.
Program Mekar Dinamik @ WBB mula dilaksanakan pada tahun 2024 susulan kerjasama YKN dan Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha membantu prospek wanita menjalani kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan.
Bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 3,584 penerima manfaat telah direkodkan menerusi pelaksanaan Program Mekar Dinamik @ Wanita Bangkit Bersasar dan aktiviti berkaitan yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.


