PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempertahankan keputusan parti itu untuk terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan dengan menegaskan kestabilan politik diperlukan bagi memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan.
Menurutnya, perbezaan antara parti-parti dalam Kerajaan MADANI perlu diuruskan secara bersama tanpa mencetuskan ketidakstabilan baharu yang boleh menjejaskan pelaksanaan dasar kerajaan.
“Ya, ada perbezaan antara parti-parti dalam Kerajaan MADANI sekarang, tetapi kita perlu memastikan kerajaan kekal stabil.
“Ini penting untuk memastikan apa sahaja yang kita bincangkan dan perjuangkan dapat dilaksanakan. Kita tidak mahu mencipta satu lagi ketidakstabilan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Terdahulu, seramai 1,857 perwakilan atau 88.47 peratus daripada 2,099 undi sah menyokong usul supaya DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Seramai 242 perwakilan atau 11.53 peratus memilih supaya DAP keluar daripada kerajaan, manakala tujuh kertas undi rosak.
Loke berkata, keputusan tersebut memberikan mandat kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan pemimpin DAP dalam kerajaan untuk terus berkhidmat serta melaksanakan agenda reformasi yang dijanjikan.
“Ini merupakan satu mandat kepada CEC dan pemimpin-pemimpin parti yang mewakili parti dalam kerajaan untuk terus berkhidmat, meneruskan kerja kita dan agenda reformasi.
“Ini adalah satu tanggungjawab dan mandat yang telah diberikan oleh perwakilan kepada kita di peringkat kepimpinan,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa DAP menggunakan persidangan itu untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan agenda parti berkenaan.
Menurut Loke, pembaharuan seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh jawatan Perdana Menteri serta usaha memerangi rasuah bukan agenda eksklusif DAP.
“Yang pertamanya, ini bukan agenda DAP. Ini yang saya mahu perbetulkan.
“Agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Loke berkata, beberapa pembaharuan tersebut bukan sahaja dipersetujui pada peringkat Pakatan Harapan, malah turut mendapat persetujuan Kabinet.
Pada masa sama, beliau mengakui terdapat pandangan kritikal daripada perwakilan yang mahu DAP dan kerajaan bertindak lebih tegas dalam melaksanakan reformasi serta menangani tekanan kos sara hidup.
Antara isu yang akan dibawa melalui saluran Kabinet ialah peluasan nilai ambang pelaksanaan e-Invois bagi melindungi perusahaan mikro dan kecil serta penelitian semula penyasaran subsidi RON95 dan diesel, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, perkara tersebut akan dibincangkan dengan Perdana Menteri dan Kabinet, terutama menjelang beberapa pengumuman kerajaan yang dijadualkan pada 30 Ogos, Hari Malaysia dan pembentangan Belanjawan pada awal Oktober.
“Kita adalah sebahagian daripada kerajaan dan Kabinet. Sudah tentu kita akan membawa semua aspirasi dan maklum balas perwakilan kembali kepada kerajaan melalui saluran Kabinet,” katanya.
Loke turut menerima pendirian 242 perwakilan yang menolak usul tersebut sebagai sebahagian daripada proses demokrasi parti.
Bagaimanapun, beliau berharap golongan berkenaan menghormati keputusan majoriti dan terus menyokong kepimpinan parti memainkan peranan secara konstruktif dalam kerajaan.
“Majoriti telah membuat keputusan dengan sokongan 88 peratus. Saya berharap mereka yang tidak bersetuju juga boleh menghormati keputusan dan pandangan majoriti perwakilan,” katanya.



