Aliff Suffian graduan PTSB buktikan potensi mampu berkembang, genggam Anugerah Ketua Pengarah

Oleh Zihan Zari

ARAU – Graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Muhammad Aliff Suffian Mohamed Salizan telah membuktikan bahawa potensi seseorang mampu berkembang apabila disertai usaha berterusan, disiplin dan kesungguhan.

Dengan jerih perih dan tidak pernah jemu akhirnya berbaloi, beliau berhasil menggenggam Anugerah Ketua Pengarah sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Utara 2026, di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dekat sini, baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut melengkapkan perjalanan beliau sepanjang berada di PTSB yang bukan sahaja menyaksikan kecemerlangan akademik, malah turut membabitkan pencapaian dalam bidang inovasi, kemahiran, kepimpinan dan pembangunan sahsiah.

Anak sulung daripada tiga beradik yang dilahirkan di Alor Setar dan dibesarkan di Pulau Pinang itu menamatkan pengajian dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.76.

Beliau mengakui pemilihannya sebagai penerima anugerah yang berprestij ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka kerana ketika di bangku sekolah, beliau bukanlah seorang pelajar yang begitu menyerlah.

“Saya bukanlah seorang pelajar yang begitu menyerlah semasa di sekolah rendah mahupun menengah. Saya hanyalah pelajar biasa seperti kebanyakan orang. Apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini, saya agak terkejut kerana tidak pernah menyangka akan berada pada tahap ini.

“Namun saya bersyukur kerana anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi menjadi bukti bahawa usaha yang berterusan, disiplin dan kesungguhan akhirnya akan membuahkan hasil,”katanya.

Sepanjang pengajian di PTSB, Aliff Suffian aktif mengembangkan kompetensi diri menerusi penglibatan dalam pertandingan kemahiran dan kepimpinan.

Beliau diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Kompeni Bravo Askar Wataniah (AW) PTSB, di samping terlibat sebagai Pengarah Program Khidmat Sukarela ke Madrasah Tahfizul Quran Bustanul Jannah di Pattani, Thailand serta Pembantu Jurulatih Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela.

“Pengalaman dalam AW banyak membentuk disiplin, ketahanan mental, semangat berpasukan dan rasa tanggungjawab yang menjadi nilai penting sepanjang perjalanan akademik serta kerjayanya.

“Di sinilah saya belajar bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada bakat atau kebolehan seseorang, tetapi dibina melalui disiplin, ketahanan mental, semangat berpasukan dan sikap bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam bidang inovasi, Aliff Suffian bersama rakan projeknya berjaya menghasilkan projek tahun akhir bertajuk ‘Sea Water Desalination Using Solar with Reverse Osmosis’yang meraih Pingat Perak dalam Mechanical Engineering Department Final Exhibition and Competition (MEDFEC) 2024 serta International Creative & Innovative Idea Competition (ICIIC) 2025.

Projek tersebut membangunkan sistem penukaran air laut atau air sungai kepada air bersih menggunakan teknologi osmosis songsang yang dikuasakan tenaga solar sekali gus menawarkan penyelesaian mesra alam khususnya untuk kawasan yang mempunyai bekalan elektrik terhad.

Beliau turut mencipta pencapaian membanggakan apabila bersama rakan sepasukannya mara ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia 2026 bagi kategori Mekatronik sekali gus menjadi wakil pertama PTSB yang berjaya melangkah ke peringkat tersebut.

Pencapaian dalam pertandingan kemahiran itu merupakan antara pengalaman paling bermakna kerana membuka ruang untuk beliau menguji keupayaan teknikal dan membawa nama PTSB ke peringkat yang lebih tinggi.

Di sebalik kejayaan tersebut, beliau menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya, Mohamed Salizan Mohd Salleh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Anita Osman, seorang suri rumah yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pendidikannya.

“Ibu berpesan supaya menjaga solat serta menghormati semua insan tanpa mengira pangkat sentiasa menjadi pegangan dalam kehidupan, ”ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah dan jurulatihnya, Normawar Ali serta Norshahidah Manaf yang telah banyak memberi bimbingan, dorongan dan kepercayaan sepanjang penglibatannya dalam pertandingan kemahiran.

“Ilmu yang dipelajari di PTSB banyak membantunya menyesuaikan diri dalam industri semikonduktor, khususnya melibatkan sistem industri, Programmable Logic Controller (PLC), pneumatik dan penyelenggaraan mesin.

“Saya boleh katakan hampir 80 peratus (%) daripada apa yang saya pelajari di PTSB dapat diaplikasikan dalam pekerjaan sekarang. Pengetahuan tersebut membantu saya memahami operasi mesin dengan lebih cepat serta memudahkan proses penyesuaian diri dalam industri,”ujarnya lagi.

Kini, Aliff berkhidmat sebagai Juruteknik Peralatan di ASE Electronics Malaysia.

Walaupun telah berkerjaya, Aliff berhasrat untuk terus meningkatkan ilmu, pengalaman dan kemahiran melalui pengajian secara separuh masa sambil membina perkembangan kerjaya dalam bidang teknikal.

Beliau berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain agar terus memanfaatkan peluang yang diberikan sepanjang berada di institusi pengajian.

“Kita mungkin tidak mengetahui apa yang menanti pada masa hadapan, tetapi kita mampu mencorakkannya melalui usaha yang dilakukan hari ini.

“Belajarlah bersungguh-sungguh kerana ilmu yang dipelajari hari ini akan menjadi bekalan menghadapi cabaran pada masa hadapan,”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat