TPM harap tiada lagi pihak akan lemparkan tuduhan melampau dan persepsi tanpa asas tentang isu Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap selepas ini tidak ada lagi pihak yang akan melemparkan tuduhan yang melampau atau membuat persepsi tanpa asas tentang isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau mengikuti dan mendengar dengan penuh teliti perbahasan yang dibuat pada Sidang Khas Parlimen berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, semalam.

“Ruang telah dibuka untuk setiap persoalan diperbahaskan, diperjelaskan dan dirungkai dengan sebaik-baiknya oleh Ahli-Ahli Parlimen.

“Mudah-mudahan selepas ini, tiada lagi pihak yang memilih untuk melemparkan tuduhan keterlaluan atau membina persepsi tanpa bersandarkan kebenaran,” katanya.

Ahmad Zahid berkata setiap teguran membina yang disampaikan mesti diikuti dengan langkah penuh bertanggungjawab untuk memastikan organisasi seperti TH terus kukuh.

“Apa jua teguran yang membina mesti disusuli dengan tindakan yang penuh bertanggungjawab, bagi memastikan institusi besar umat Islam ini terus kukuh, diyakini dan tidak lagi dibelenggu polemik yang berpanjangan,” katanya.

Sidang Khas semalam berlangsung tanpa sebarang waktu rehat dengan 40 orang Ahli Parlimen berbahas.

Pada 30 Julai lalu, kerajaan mengumumkan penyahklasifikasian Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Laporan itu antara lain mengenal pasti beberapa pelaburan bermasalah yang disyorkan menjalani audit forensik, selain mengandungi 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus TH.

Kerajaan turut memutuskan siasatan oleh badan-badan penguat kuasa diteruskan serta-merta terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan pelanggaran undang-undang berdasarkan dapatan laporan tersebut.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat