KUALA LUMPUR – Peranan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai platform menyebarkan maklumat tentang isu jenayah dan scammer kepada masyarakat amat penting kerana masalah berkaitan boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan negara.
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican berkata perkara berkaitan 2 isu berkenaan boleh memberikan kesan tidak baik kepada orang ramai dan ia mesti ditangani dengan tegas dan berprinsip.
“Masyarakat secara keseluruhannya, perlu mengambil iktibar dan membina kesedaran tinggi melalui maklumat-maklumat dan yang telah dikongsikan menerusi pelbagai platform milik Jabatan kerajaan itu,” katanya kepada Suara TV selepas melakukan kunjungan hormat dengan Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail di Angkasapuri Kota Media.
Dr Mustapha juga berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama yang baik dalam membantu menangani masalah tentang isu jenayah dan isu melibatkan pendatang warga asing tanpa izin.
Beliau turut memuji langkah RTM yang menggunakan platform Sebenarnya.my yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyebarkan maklumat sahih tentang berita palsu kepada orang ramai.
“Stesen TV di bawah kendalian RTM yang terus-menerus menayangkan video pesanan khidmat masyarakat kepada orang ramai tentang jenayah, scammer dan isu semasa juga merupakan satu langkah penting dalam membantu mengatasi masalah seperti ini,” kata beliau.
Ashwad Ismail dilantik secara rasmi memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia pada 23 Februari lalu menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman.



