Tujuh pelaburan Tabung Haji lesap 100 peratus, kerugian keseluruhan hampir RM13 bilion – MOF

KUALA LUMPUR – Tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) yang dikenal pasti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengalami kerugian 100 peratus daripada nilai pelaburan, ketika jumlah keseluruhan kerugian akibat salah urus institusi itu mencecah hampir RM13 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, antara pelaburan yang mengalami kerugian 100 peratus ialah Al-Rawda melibatkan RM1.8 bilion, Putrajaya Perdana sebanyak RM193 juta dan Trurich Resources berjumlah RM364 juta.

Menurut MOF, Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 turut menemui proses kelulusan pelaburan yang mencurigakan, termasuk insiden penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI hari ini mengesahkan kerugian keseluruhan hampir RM13 bilion.

Jumlah itu merangkumi kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.

“Salah urus Tabung Haji ditanggung semua – beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji.

“Kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan,” katanya.

Menurut MOF, lima kertas siasatan telah dibuka susulan penemuan berkenaan, manakala tuntutan sivil turut dikejar di dalam dan luar negara.

Siasatan juga melibatkan bekas pengerusi dan pengurusan tertinggi TH berhubung kekayaan yang tidak dapat dijelaskan (unexplained wealth).

Kerajaan menegaskan tidak akan campur tangan atau melindungi mana-mana individu, manakala keputusan untuk melakukan pendakwaan terletak sepenuhnya kepada Pendakwa Raya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, wang yang diamanahkan kepada TH merupakan simpanan rakyat untuk menunaikan ibadah haji.

“Amanah dalam Tabung Haji ialah wang seorang guru, seorang peniaga kecil dan seorang pesara, yang disimpan untuk menunaikan haji.

“Apabila amanah sebesar ini tergugat, kita tidak boleh berselindung di sebalik angka,” katanya.

Menurut MOF, kesan salah urus tersebut turut ditanggung 9.7 juta pendeposit apabila kadar agihan TH jatuh serendah 1.25 peratus pada 2018 dan sekitar tiga peratus sepanjang tempoh pemulihan.

Dalam usaha memastikan krisis sama tidak berulang, kerajaan akan meneruskan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) selaras dengan syor RCI.

Antara langkah dicadangkan ialah memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti terhadap aktiviti pelaburan TH.

MOF pada masa sama memaklumkan kedudukan kewangan TH kini kembali stabil dan semakin kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion setakat 31 Disember 2025.

Dana simpanan pendeposit pula meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.

Kadar agihan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus bagi 2025, melibatkan agihan keseluruhan RM3.22 bilion.

Kerajaan turut memberi jaminan keseluruhan simpanan setiap pendeposit TH kekal dijamin kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta 535.

“Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang,” menurut MOF. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat