Hendak bahas mengenai saya atau atau pengkhianatan terhadap Tabung Haji, Anwar sindir PN boikot sidang khas

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang memboikot sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat hari ini.

Tindakan itu dibuat selepas permohonan Ketua Whip PN, Datuk Takiyuddin Hassan supaya Sidang Khas Dewan Rakyat berkenaan ditangguhkan sehingga Anwar kembali bertugas tidak dipenuhi.

PN memohon penangguhan atas alasan Perdana Menteri tidak dapat menghadiri persidangan berkenaan dan berpandangan laporan RCI itu wajar dibentangkan sendiri oleh Anwar.

Bagaimanapun, sidang khas diteruskan seperti dijadualkan hari ini, dengan majoriti wakil rakyat PN kemudian bertindak keluar dari Dewan dan tidak menyertai perbahasan.

Sebahagian kecil Ahli Parlimen Bersatu bagaimanapun dilaporkan kekal berada di dalam Dewan dan meneruskan penyertaan dalam persidangan.

Susulan tindakan itu, Anwar mempersoalkan keutamaan pembangkang dalam isu berkenaan.

“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut membidas PN yang ditunjangi PAS kerana menurutnya isu yang sepatutnya diberikan perhatian ialah kepentingan pendeposit TH, khususnya orang Melayu dan Islam yang menyimpan wang bagi menunaikan ibadah haji.

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.

“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” soalnya.

Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini diadakan khusus bagi membahaskan laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Anwar sendiri sebelum ini mengumumkan sidang khas berkenaan akan diadakan pada 11 Ogos selepas perkara itu dibincangkan dan dipersetujui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Antara dapatan utama RCI ialah TH sepatutnya mencatat kerugian RM1.4 bilion pada 2017 dan bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan ketika itu.

RCI turut mengenal pasti kelemahan tadbir urus termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara lembaga pengarah dengan pengurusan kanan serta kebimbangan mengenai pengaruh politik dalam institusi berkenaan.
[

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat