KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Bersatu tidak menyertai blok pembangkang lain keluar Dewan Rakyat ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) .
Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin berkata, isu RCI Tabung Haji penting bagi rakyat dan tidak perlu drama politik.
Speaker: “Maksudnya pembangkang nak walk out”
YB Kota Bharu: “Yes”
“Ahli-ahli Parlimen Bersatu adalah pembangkang. Kami tidak akan walk out. Ini isu penting bagi rakyat dan tidak perlu drama politik.
“Kami bahkan minta supaya dipanjangkan tempoh perbahasan.
“Rakyat perlukan kebenaran,” tegas Radzi.
Sebelum itu dilaporkan, ahli-ahli Parlimen pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pagi ini.
Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Pemakluman untuk tidak menyertai itu sidang khas itu dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hasan, dan dipersetujui oleh Johari.
Susulan itu, Ahli-ahli Parlimen PN dilihat bangkit dari tempat duduk masing-masing secara bersama untuk mula beredar keluar dari dewan.
Terdahulu, Takiyuddin bangun membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya sidang khas berkenaan RCI TH pagi ini ditangguhkan, dengan alasan ia tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, Johari memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Perdana Menteri memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas itu.
Perdana Menteri sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).


