Ismail Sabri selamat jalani prosedur implan perentak jantung tanpa wayar

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN), petang Jumaat.

IJN dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, prosedur berkenaan dilakukan bagi merawat masalah rentak jantung tidak normal yang dialami Ahli Parlimen Bera itu.

“Institut Jantung Negara mengesahkan Ismail Sabri Yaakob berjaya menjalani prosedur pemasangan leadless pacemaker bagi masalah rentak jantung tidak normal petang ini,” menurut kenyataan itu.

Susulan prosedur berkenaan, Ismail Sabri dinasihatkan supaya berehat bagi membantu proses pemulihannya.

IJN berkata, lawatan buat masa ini dihadkan kepada ahli keluarga terdekat bagi memastikan beliau mendapat rehat secukupnya selain menjaga privasi bekas Perdana Menteri itu.

Pihak hospital turut meminta media dan orang ramai menghormati privasi Ismail Sabri serta keluarganya sepanjang tempoh pemulihan.

Menurut IJN, sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan beliau akan dimaklumkan melalui saluran yang dibenarkan sekiranya perlu.

Terdahulu, Ismail Sabri dilaporkan dibawa ke IJN pada petang Khamis selepas mengadu mengalami sakit dada ketika berada dalam jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau sebelum itu dibawa pegawai SPRM dari kediamannya pada pagi Khamis sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan.

Ismail Sabri sebelum ini turut dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala minggu lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat