KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu mengkaji semula segala prosedur sedia ada, mengenal pasti sebarang kelemahan dan mengambil tindakan penambahbaikan dengan segera.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke perlu tampil memberikan penjelasan menyeluruh mengenai langkah-langkah yang akan diambil bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat serta menjaga nama baik Malaysia serta imej KLIA di peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Mike Chong Yew Chuan berkata, insiden membabitkan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana didakwa menyeludup 26 kilogram dadah ke negara berkenaan memberi tamparan hebat kepada imej dan sektor penerbangan negara.
“Walaupun siasatan masih berjalan, namun kejadian ini telah mencetuskan persoalan serius mengenai tahap pemantauan serta kawal selia terhadap kru penerbangan negara.
“Menteri Pengangkutan Anthony Loke tidak boleh sekadar mengambil pendekatan melihat kes ini sebagai salah laku individu semata-mata.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada kementerian telah memastikan wujudnya sistem saringan, pemantauan dan pengesanan yang benar-benar berkesan bagi memastikan kru penerbangan sentiasa mematuhi standard keselamatan.
“Bagaimana seseorang yang memegang tanggungjawab besar sebagai juruterbang boleh didakwa membawa bahan terlarang ketika menjalankan tugas? katanya.
Lebih membimbangkan Mike berkata, keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, MDMA dan kokain.
“Bagaimana seseorang yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan ratusan nyawa di dalam pesawat boleh terlibat dalam kegiatan jenayah seperti ini?
“Persoalan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan tahap kepercayaan terhadap sistem pemantauan dalam industri penerbangan negara.
“Kes seperti ini turut memberi persepsi negatif terhadap Malaysia di mana selama ini KLIA dikenali sebagai antara hab penerbangan utama.
“Namun, insiden sebegini berisiko menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti dan integriti penerbangan negara.
“Adakah ujian saringan penyalahgunaan dadah dan proses pemantauan terhadap kru penerbangan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten?
“Jika prosedur tersebut dilakukan secara berkala, pasti ada kelompongan dalam pelaksanaannya sehingga insiden seperti ini boleh berlaku,” tegas beliau.
Pada masa yang sama, Mike berkata, Pemuda MCA menyambut baik maklum balas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang akan memberi komitmen penuh untuk terus bekerjasama bagi menjalankan semakan dalaman secara telus.
“Integriti industri penerbangan tidak boleh dikompromi kerana ia melibatkan keselamatan penumpang, reputasi negara dan kepercayaan masyarakat antarabangsa,” ujarnya.



