KUALA LUMPUR – Adun Johol Datuk Saiful Yazan Sulaiman menyangkal dakwaan bahawa wakil Pakatan Harapan (PH) akan disenaraikan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
Saiful Yazan sekali gus menyifatkan spekulasi itu sebagai kenyataan melulu dan tidak berasas.
Beliau berkata sekiranya perkara tersebut benar, ia sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu bersama semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
“Kalau perkara itu benar-benar akan berlaku, sudah semestinya kami sebagai calon BN Negeri Sembilan yang baharu memenangi PRN yang lalu akan dibawa berbincang mengenainya.
“Sebaliknya, perkara ini tidak pernah dibincangkan sama sekali sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada lewat Selasa, lapor Astro Awani di Seremban.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan yang tular bahawa beberapa ADUN PH berkemungkinan menyertai pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya memberi ruang kepada Menteri Besar untuk menyusun pentadbiran negeri tanpa diganggu spekulasi politik.
Katanya, mandat yang diberikan rakyat pada PRN lalu perlu dihormati dengan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Negeri Sembilan.
“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan, kini kita harus terus bekerja dan bukannya membuang masa bermain politik sepanjang masa,” bidasnya.


