SERI MANJUNG – Barisan Nasional (BN) tidak bercadang meninggalkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan akan terus bersama pentadbiran itu sehingga akhir penggal, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut beliau, pendirian berkenaan selaras dengan perjanjian yang ditandatangani BN ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita akan bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal yang ditentukan oleh Perdana Menteri.
“Kita telah menandatangani perjanjian bahawa BN bersama Kerajaan Persekutuan ini sehingga akhir penggal dan kita tidak bercadang melanggar perjanjian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan rasmi sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera di Desa Manjung Raya, di sini.
Ahmad berkata, pendirian berkenaan sudah dinyatakan beberapa kali oleh kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO serta Setiausaha Agung BN.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perjanjian Kerajaan Perpaduan itu hanya melibatkan pentadbiran Persekutuan dan tidak mengikat BN dalam menentukan bentuk kerjasama politik di peringkat negeri.
“BN tidak pernah mengikat atau menandatangani perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
“Kita tidak mempunyai perjanjian di Johor kerana kita bergerak secara solo. Kita juga tidak mempunyai perjanjian bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan. Sebab itu kita bersama PN,” katanya.
Menurutnya, keadaan sama berlaku di Melaka dan membuka kemungkinan BN menggunakan formula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), sebagaimana yang dilaksanakan pada PRN Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai PRU16, Ahmad berkata, beliau tidak mengetahui bila Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen.
Namun, berdasarkan pendirian Perdana Menteri yang sebelum ini dilihat kurang cenderung kepada pilihan raya awal, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan mahu melengkapkan penggal pentadbiran semasa.
“Kalau saya Perdana Menteri, PRU mungkin pada Disember tahun depan. Tetapi saya bukan Perdana Menteri, jauh daripada Perdana Menteri. Jadi saya tidak tahu bila Perdana Menteri mahu mengadakan PRU.
“Setakat ini Perdana Menteri tidak menyukai PRU atau PRN awal. Kalau membaca fikirannya begitu, mungkin beliau mahu melengkapkan lima tahun,” katanya.


