Warisan nafi tarik diri daripada Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah menafikan sekeras-kerasnya kesahihan satu kenyataan media yang tular di media sosial kononnya parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani.

Dalam kenyataan rasmi pada Isnin, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr., berkata dokumen yang tersebar itu merupakan satu lagi fitnah yang bertujuan mengaitkan dan memburuk-burukkan parti berkenaan.

“Parti Warisan Sabah menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini merupakan satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburuk-burukkan Warisan.

“Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen Warisan seolah-olah ia merupakan kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu kenyataan media menggunakan logo dan kepala surat Warisan bertarikh 3 Ogos 2026 yang mendakwa parti itu telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Dokumen palsu itu turut mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi Warisan memutuskan penyertaan parti dalam kerajaan tidak lagi boleh diteruskan atas alasan wujud perbezaan dasar dan hala tuju pentadbiran, selain menyebut “reformasi sudah mati”.

Bagaimanapun, Warisan menegaskan kenyataan tersebut adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh parti.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dokumen yang tidak disahkan serta merujuk saluran rasmi Warisan bagi mendapatkan maklumat yang sah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat