Noraini Perjelas Tujuan Ikrar Wanita, Tiada Kaitan Dengan Konflik Dalaman Parti

LABU — Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad menafikan pelancaran Ikrar Wanita Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mempunyai kaitan dengan sebarang isu dalaman parti.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ikrar tersebut diperkenalkan bagi memudahkan golongan wanita memahami tawaran khusus kepada mereka yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional.

Menurut Noraini, manifesto BN merangkumi pelbagai aspek, namun intipati yang memberi fokus kepada wanita perlu diketengahkan secara berasingan supaya lebih mudah difahami oleh kumpulan sasaran.

“Tidak, bukan begitu. Apabila orang melihat manifesto, mereka akan melihatnya secara keseluruhan.

“Tetapi apabila kita mengeluarkan intipati manifesto yang memberi fokus khusus kepada wanita, ia lebih memudahkan golongan wanita memahami peluang-peluang yang ditawarkan oleh Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suara TV mengenai sama ada pelancaran Ikrar Wanita mempunyai kaitan dengan isu tertentu dalam parti.

Noraini berkata, Ikrar Wanita sebenarnya merupakan sebahagian daripada manifesto BN yang menghimpunkan komitmen parti terhadap usaha memperkasakan wanita serta menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan itu.

Katanya, inisiatif tersebut bukan sekadar dokumen kempen, malah menjadi medium untuk menyampaikan secara lebih jelas agenda dan dasar yang bakal dilaksanakan demi manfaat wanita sekiranya BN diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

“Ikrar Wanita ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional yang memberi fokus kepada peluang-peluang yang akan diberikan kepada wanita.

“Ia bertujuan memudahkan golongan wanita memahami tawaran yang disediakan oleh Barisan Nasional kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noraini turut menyeru semua pengundi, khususnya wanita, supaya keluar mengundi pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional.

Beliau berkata, penyertaan wanita amat penting memandangkan jumlah pengundi wanita di Negeri Sembilan kini hampir mencecah separuh daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

Menurutnya, sokongan terhadap calon-calon wanita BN bukan sahaja memperkukuhkan penyertaan wanita dalam politik, malah menjadi pilihan kepada sebuah parti yang mempunyai rekod kestabilan dan pengalaman mentadbir negara.

“Pengundi wanita di Negeri Sembilan hampir mencecah 50 peratus. Ini bermakna wanita mempunyai peranan yang sangat penting dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Negeri kali ini.

“Kepada semua pengundi, saya ingin memohon dan merayu supaya keluar mengundi serta memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat